Menurut tinjauan Randstad baru-baru ini, sebanyak 58% rakyat Malaysia ingin mencari pekerjaan untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Dalam tinjauan ini, 13% responden berkata pengalaman dan kemahiran kerja yang mereka miliki tidak lagi memenuhi keperluan pekerjaan mereka yang sekarang, manakala 15% pula berkata mereka telah diberhentikan kerja.
Tinjauan juga mendapati bahawa sebanyak 26% telah dipotong gaji atau dibekukan gaji, sama ada berterusan atau untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih.
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020 telah menyebabkan banyak syarikat melabur dalam membangunkan infrastruktur dan rangkaian digital mereka, yang menyebabkan sejumlah besar pekerjaan didigitalisasikan atau diambil alih sepenuhnya secara digital.
Jika anda termasuk dalam golongan yang sedang mencari pekerjaan, pastinya anda tertanya-tanya tentang pekerjaan apa yang selamat pasca Covid-19.
Hakikatnya tiada pekerjaan yang 100% selamat ketika kemelesetan ekonomi, namun anda digalakkan untuk memohon pekerjaan yang boleh dilakukan secara digital bagi mengurangkan risiko yang ada.
Tetapi terdapat juga pekerjaan yang tidak sesuai atau boleh dilakukan secara digital yang dikira selamat pasca Covid-19, seperti pekerjaan di bawah perkhidmatan perlu (essential services) contohnya petugas keselamatan awam.
Berikut ialah tujuh pekerjaan yang boleh dikira selamat pasca Covid-19:
- Pekerjaan yang terkait dengan e-dagang
Berita Harian melaporkan penggunaan e-dagang telah mendadak naik di kalangan pengguna dan peniaga di Malaysia sejak bermulanya pandemik, dan trend ini dijangka akan berterusan. Ini sekaligus merancakkan sektor e-dagang tempatan dan munculnya peluang pekerjaan baru.
Antara contoh peluang pekerjaan yang terkait dengan sektor ini ialah pengurus produk, penganalisis data, pengurus projek, pengurus gudang, eksekutif operasi, pembangun web, dan penulis kandungan atau produk. - Pekerjaan yang terkait dengan perkhidmatan kurier
Dengan meningkatnya penggunaan e-dagang, kebergantungan kepada perkhidmatan kurier turut meningkat. Selain runner, antara contoh pekerjaan yang ada ialah eksekutif khidmat pelanggan, pengurus stor, pembantu admin, kerani pemprosesan pesanan, dan pengurus logistik. - Pekerjaan yang terkait dengan keselamatan awam
Contohnya pengawal keselamatan, pemandu ambulans, anggota bomba, dan pegawai penguatkuasa undang-undang. Sektor keselamatan awam adalah salah satu sektor yang terpenting dan akan sentiasa diperlukan. - Pekerjaan yang terkait dengan perkhidmatan kemudahan awam
Contohnya perkhidmatan elektrik, air, tenaga, dan pengairan yang memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan masyarakat dan menyumbang kepada kesihatan awam dengan memastikan persekitaran tempat tinggal yang bersih dan selesa. - Pencipta kandungan digital
Menurut Persatuan Digital Malaysia, penggunaan hiburan digital turut meningkat akibat pandemik di mana khidmat pencipta kandungan semakin diperlukan. Industri ini masih pesat membangun di Malaysia, dan antara contoh pekerjaan yang ada ialah penulis, pereka digital, dan pengurus kandungan digital. - Pekerjaan yang terkait dengan permainan dalam talian
Dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan dalam membangunkan industri eSukan di Malaysia, munculnya peluang pekerjaan baru dengan permintaan pasaran yang tinggi, contohnya seperti pembina permainan dalam talian, atlet eSukan, atau game streamer. - Pekerjaan yang terkait dengan teknologi maklumat
Hampir semua aktiviti harian kita mempunyai kaitan dengan teknologi maklumat, sama ada ketika bekerja ataupun membeli-belah. Industri ini bukan saja terkait dengan platform dalam talian, malah ia juga bergabung dengan industri penting lain seperti kejuruteraan (contohnya percetakan 3D), perakaunan, kewangan dan juga seni.
4 tips ringkas ketika anda mencari kerja baru
Ikuti beberapa tips mudah ini bila anda mencari kerja baru:
- Mohon pekerjaan di syarikat yang mempunyai polisi ‘bekerja dari rumah’
Syarikat seperti ini biasanya mempunyai infrastruktur dan rangkaian digital yang baik, sekaligus menawarkan peluang pekerjaan digital yang stabil dan seiring dengan kehendak pasaran terkini. - Pastikan pekerjaan yang dipohon itu memenuhi matlamat kewangan dan profesional jangka panjang anda
Ketika kemelesetan ekonomi, ditambah dengan tekanan kewangan akibat kehilangan pekerjaan, kita biasanya akan mengambil apa sahaja peluang pekerjaan yang ada walaupun pekerjaan tersebut tidak menawarkan gaji yang lumayan, memenuhi minat anda, atau menawarkan peluang bagi pembangunan profesional anda.
Ini ialah tindakan berdasarkan pemikiran jangka pendek yang akan memberi kesan negatif, seperti kekerapan dalam menukar pekerjaan. Jadi pastikan pekerjaan yang dipohon itu memenuhi matlamat kewangan dan profesional jangka panjang anda. - Hubungi orang yang mungkin boleh membantu anda
Mungkin anda mempunyai hubungan yang baik dengan majikan atau kenal dengan sesiapa yang mempunyai reputasi yang baik dalam industri anda. Anda boleh meminta recommendation dari majikan atau cuba hubungi kenalan tersebut.
Gunakan platform pekerjaan seperti LinkedIn untuk mengumumkan yang anda terbuka dalam menerima peluang pekerjaan yang baru. Platform seperti ini juga membantu dalam membuktikan nilai pasaran, kemahiran dan rangkaian yang dimiliki, selain menghubungkan anda dengan orang-orang penting yang ada dalam industri yang anda minati. Pastikan anda mengemas kini maklumat profesional anda. - Tingkatkan kemahiran profesional anda
Ambil kesempatan yang ada untuk tingkatkan kemahiran profesional anda, contohnya inisiatif kerajaan seperti Mari Belajar Digital oleh MDEC yang menawarkan kursus kemahiran digital atau PENJANA HRDF yang menawarkan latihan pekerjaan secara percuma untuk mereka yang layak. Tiga golongan yang diberi keutamaan bagi inisiatif ini ialah kumpulan B40, mereka yang diberhentikan kerja, dan mereka yang dipotong gaji.