Menurut kajian dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), satu daripada tiga rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan pengetahuan kewangan mereka. Lebih membimbangkan, 52% daripada mereka tidak mampu menyediakan walaupun RM1,000 bagi tujuan kecemasan.
Pengurusan kewangan yang baik dan kaedah pelaburan adalah di antara ilmu yang perlu diperlajari untuk menjadikan diri kita celik kewangan. Di antara kaedah pelaburan yang paling mudah untuk anda ikuti adalah pelaburan unit amanah.
Mengapa melabur dalam unit amanah?
Secara umumnya, melabur adalah untuk menjana pulangan yang konsisten dan berdaya saing dalam jangka masa panjang. Kebiasaannya, kita berkerja, sama ada untuk syarikat atau diri sendiri, untuk mencari wang.
Tetapi, melalui pelaburan, wang kita laburkan itu berkerja untuk diri kita dengan cara menggandakan nilai dan menjana pulangan. Pelaburan juga melindungi nilai wang tersebut terhadap inflasi.
Dalam unit amanah, wang anda akan dikumpulkan bersama pelabur-pelabur lain sehingga menjadi jumlah yg besar dan akan dilaburkan ke dalam pelbagai saham ekuiti dan bon. Kepelbagaian ini dapat mengurangkan risiko kerana kita tidak terlalu bergantung kepada satu-satu saham semata-mata.
Kini, peluang untuk melabur dalam unit amanah sudah menjadi semakin mudah dengan wujudnya platform seperti i-Invest yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Apakah itu pelaburan i-Invest KWSP?
Ini adalah kemudahan dalam talian yang membolehkan anda mengeluarkan dana yang layak daripada Akaun Simpanan KWSP anda dari Akaun 1 untuk membuat pelaburan (iaitu belian) ke dalam unit amanah.
Transaksi boleh dihantar melalui platform dalam talian ini termasuk pelaburan (iaitu membeli), menukar, menebus; dan bertanyakan baki akaun, nilai semasa, transaksi sejarah dan lain-lain.
Ia terbuka kepada semua individu yang merupakan Ahli KWSP yang layak serta pelanggan i-Akaun KWSP. Anda dibenarkan untuk melabur 30% dari jumlah simpanan yang melebihi jumlah Simpanan Asas yang diperlukan dalam Akaun 1.
Amaun Simpanan Asas adalah terpakai bagi ahli yang berumur sehingga 55 tahun sahaja sebelum kawalan pelepasan dikeluarkan oleh KWSP. Amaun terperinci mengenai jumlah Simpanan Asas boleh dilihat di sini.
Contoh pengiraan jumlah layak pelaburan bagi ahli berusia 34 tahun:
Jumlah Simpanan dalam Akaun 1 = RM118,926.56
Simpanan Asas diperlukan dalam Akaun 1 (usia 34 tahun) = RM52,000
Jumlah lebihan dari Simpanan Asas = RM66,926.56
Amaun yang Layak (30% x RM66,926.56) = RM20,077.97
Kelebihan yang terdapat pada i-Invest KWSP
Sebelum ini, pelaburan KWSP dibuat melalui ejen. Tetapi kini, pencarum KWSP boleh terus membuat pelaburan melalui portal i-Akaun.
Kelebihan yang terdapat pada i-Invest termasuklah:
- Mudah diakses — Ahli boleh akses, buat analisis, dan perbandingan antara syarikat unit amanah, dan juga antara dana.
- Bila-bila masa, di mana sahaja — Dengan platform dalam talian, tiada had kekerapan untuk anda melabur. Tiada lagi tempoh sekatan pelaburan jangka masa 3 bulan.
- Kos yang lebih rendah — sebelum ini, apabila pelaburan dibuat melalui ejen, terdapat yuran ejen sebanyak 3%. Bagaimanapun, melalui I-Invest, kos pelaburan hanyalah 0% hingga 0.5% sahaja.
- Kepelbagaian dana — Anda dapat memilih dari peluang pelaburan yang telah memenangi anugerah global. Dari dana domestik ke dana industri antarabangsa yang diiktiraf.
- Lebih efisien — Transaksi yang nyata dan proses yang cepat.
- Boleh memantau prestasi dana secara keseluruhan — Pelaburan yang dibuat dapat dipantau secara digital terus melalui aplikasi yang disediakan.
Melabur dalam 4 langkah mudah
Pelaburan melalui I-Invest cukup mudah, malah boleh diringkaskan kepada 4 langkah berikut:
- Log masuk ke KWSP i-Akaun.
- Pilih ‘Pelaburan’ pada bar menu.
- Di skrin beli, pilih dana pilihan anda.
- Sahkan transaksi.
Mudah, bukan? Maka apa yang ditunggu-tunggu lagi? Laburkan wang anda sekarang untuk pulangan masa hadapan!