Setelah lima bulan menjalani kehidupan dalam norma baharu, makin ramai rakyat Malaysia yang mengambil peluang kelonggaran yang diberikan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk melancong dan bercuti dalam negara. Selain daripada aktiviti riadah dan mengisi masa bersama keluarga, kegiatan ini juga membantu memulihkan semula ekonomi tempatan.
Pelancongan tempatan ini bertambah rancak lagi pada bulan Ogos, memandangkan terdapat cuti dan perayaan besar seperti Maal Hijrah dan Hari Kemerdekaan.
Sebenarnya, terdapat satu tema yang boleh menggabungkan semangat kedua-dua sambutan ini — kewangan Islam.
Malaysia peneraju kewangan Islam
Maal Hijrah yang juga dikenali sebagai Awal Muharram menandakan permulaan kalendar Islam. Selain itu, ia mengingatkan kembali peristiwa penting dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Ia adalah permulaan kepada pembentukan negara Islam yang baru.
Peristiwa Maal Hijrah dan pembentukan sebuah negara baru yang terhasil sebenarnya selari dengan semangat kemerdekaan. Semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pelbagai pencapai telah diperolehi. Di antaranya, dalam industri perbankan dan kewangan Islam, negara kita merupakan peneraju dan di antara negara yang terbaik di dunia.
Sejak tertubuhnya Akta Bank Islam pada tahun 1983, industri ini telah melalui pelbagai perkembangan yang pesat. Selain perbankan Islam, Malaysia juga berjaya menubuhkan syarikat insurans Islam yang terawal melalui Syarikat Takaful Malaysia Bhd, sukuk Islam yang pertama, dan memperkenalkan sukuk hijau (mesra alam) kepada masyarakat antarabangsa.
Industri ini juga memperlihatkan perkembangan yang semakin pesat, seperti yang dinyatakan di dalam laporan tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Bank Negara. Pada tahun 2000, pembiayaan Islam hanya menguasai 5.3% dari bahagian pasaran. Tetapi kini, angka tersebut sudah mencecah 34.9%. Malahan, pembiayaan Islam ini turut mendapat sambutan hangat dari golongan non-Muslim di negara ini.
Kelebihan yang terdapat pada kewangan Islam
Mungkin ada yang tertanya, apakah yang menjadi faktor di sebalik peningkatan populariti ini? Di sini, kami senaraikan 5 kelebihan pembiayaan kewangan Islam yang perlu anda ketahui:
- Lebih adil dan terlindung dari risiko yang keterlaluan
Salah satu ciri yang perlu ada di dalam perbankan dan kewangan Islam ialah bebas dari unsur “Gharar”. Walaupun tidak mempunyai definisi yang khusus, gharar adalah sebarang unsur syak, keraguan, ketidaktentuaan, atau ketidak jelasan.
Gharar boleh timbul daripada aspek-aspek berikut:
- sama ada sesuatu barangan yang ditransaksikan itu wujud atau tidak
- sama ada sesuatu barangan yang ditransaksikan itu mampu diserahkan ataupun tidak
- kaedah transaksi itu dilaksanakan secara yang tidak jelas tetapi menarik perhatian sehinggakan mungkin wujud elemen penipuan bagi menarik pihak-pihak untuk bertransaksi
- akad atau kontrak yang mendasari sesuatu transaksi itu sendiri sifatnya tidak jelas
Oleh sebab itu, produk yang menepati ciri-ciri kewangan Islam bukan sahaja lebih adil tetapi juga lebih terlindung daripada penipuan dan risiko yang keterlalu
- Lebih terlindung dari krisis.
Ketika kebanyakan ekonomi dunia berdepan dengan krisis sekitar tahun 2007 dan 2008, pembiayaan Islamik pula mengalami peningkatan sebanyak 25 peratus. Dua faktor utama yang membolehkan ini berlaku adalah:
- Bebas dari riba — Selain gharar, sistem kewangan Islamik juga perlu bebas dari sebarang unsur riba (faedah). Dengan konsep ini, penindasan akan berkurangan dan keuntungan dapat dikongsi oleh semua pemegang taruh (stakeholders)
- Perkongsian risiko — Konsep Mudarabah dalam sisitem kewangan Islam bermaksud sebarang risiko juga dikongsi oleh semua pegang taruh.
- Amaun bayaran yang jelas dan tetap
Mengikut pembiayaan Islam, jumlah maksimum yang perlu dibayar oleh pelanggan sudah dipersetujui lebih awal. Maka, amaun bayaran adalah tetap sepanjang tempoh pembiayaan.
Ini berbeza dengan pinjaman konvensional. Amaun bayaran akan berubah mengikut perubahan Kadar Pinjaman Asas (BLR – Base Lending Rate). Ini merupakan kadar faedah minimum yang dikira oleh institusi-institusi perbankan. Ia berdasarkan formula yang mengambil kira kos perbelanjaan institusi-institusi dan caj-caj pentadbiran lain.
- Caj bayaran lewat yang lebih rendah
Mengikut perbankan Islam, caj bayaran lewat dikenakan sebagai bayaran kos rugi yang dihadapi oleh pembiaya akibat pelanggan tidak membayar hutangnya dalam waktu yang ditetapkan. Caj yang dikenakan hanyalah kepada baki amaun pembiayaan.
Sistem pinjaman konvensional pula mengamalkan konsep faedah kompaun, iaitu faedah ke atas faedah.
- Perlindungan insurans Takaful
Majoriti pembiayaan kewangan Islam juga diliputi dengan perlindungan insurans Takaful . Pelan insurans ini memiliki ciri patuh Shariah dan adalah berdasarkan konsep kerjasama dan perkongsian risiko.
Adakah pembiayaan kewangan masih relevan pada waktu norma baharu?
Walaupun kerajaan mengumumkan pelbagai jenis bantuan termasuk moratorium pembiayaan sedia ada, namun buat ramai, kadar tersebut belum mencukupi bagi menampung perbelanjaan.
Maka, memohon pembiayaan kewangan yang baru mungkin dapat membantu menstabilkan keadaan kewangan anda. Ia boleh digunakan menjana pendapatan ataupun mengukuhkan situasi ekonomi anda.
Pembiayaan kewangan juga boleh membantu anda membayar kos sara hidup seperti bil letrik, air, sewa rumah, pinjaman sedia ada, dan bil-bil lain sementara anda mendapat pekerjaan baru atau menstabilkan kewangan anda.
Pembiayaan kewangan juga membantu sekiranya anda memerlukan jumlah wang yang besar dengan segera.
Sekiranaya anda mahu mengetahui sama ada pembiayaan kewangan sesuai buat anda pada masa kini, layari artikel kami di sini.