Digital disruption atau gangguan digital ditakrifkan sebagai suatu perubahan yang terjadi apabila teknologi digital dan model perniagaan baharu mempengaruhi nilai barang dan perkhidmatan yang ada.
Penggunaan peranti mudah alih yang meluas telah mempercepat penggunaan dan potensi gangguan digital dalam pelbagai industri, terutamanya dalam bidang kejuruteraan, perubatan dan kesihatan, sosial, ekonomi, kewangan, dan juga politik.
Salah satu contohnya ialah peningkatan bagi penggunaan eDompet. Juga dikenali sebagai Dompet Digital atau Dompet Mudah Alih, ia adalah kaedah pembayaran baharu yang membolehkan anda melakukan pelbagai pembayaran dengan serta-merta melalui aplikasi.
Untuk melakukannya, anda perlu memautkan akaun bank, kad kredit atau debit anda ke aplikasi eDompet. Anda juga boleh melunaskan bil, menambah nilai, atau membuat bayaran bagi barangan atau perkhidmatan dalam talian atau luar talian dalam sekelip mata.
Perkembangan eDompet di Malaysia
Sehingga baru-baru ini, penggunaan eDompet agak rendah di kalangan pengguna Malaysia walaupun banyak kemudahan yang ditawarkan. Tinjauan Nielsen pada tahun 2019 melaporkan bahawa 50% rakyat Malaysia berpendapat eDompet tidak cukup selamat. 34% bimbang mereka akan terlebih berbelanja, manakala 27% berpendapat tiada gunanya membayar dengan eDompet kerana tidak banyak kedai yang menerimanya.
Namun, disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan kerana pandemik Covid-19 pada suku pertama dan kedua tahun 2020, Malaysia kini mendahului penggunaan eDompet di Asia Tenggara, begitu menurut Kajian Impak MasterCard 2020.
Bagi penggunaan dompet mudah alih/digital, Malaysia mendahului sebanyak 40% berbanding Filipina (36%), Thailand (27%) dan Singapura (26%). eDompet yang dulunya dilihat sebagai “berbahaya” kini telah digunakan dengan meluas baik oleh pengguna mahupun peniaga.
Penggunaan wang tunai pula merosot sebanyak 64% sejak pandemik Covid-19 bermula, suatu perubahan yang besar memandangkan wang tunai pernah menjadi kaedah pembayaran yang paling digemari (terutama untuk perbelanjaan harian) di kalangan pengguna Malaysia.
Pandemik Covid-19 telah menunjukkan betapa pentingnya bagi semua orang untuk beralih ke arah masyarakat tanpa tunai (cashless society). Ini sejajar dengan rancangan kerajaan untuk meningkatkan pembangunan digital dan menjadi masyarakat tanpa tunai. Demi menggalakkan penggunaan pembayaran secara digital, kerajaan melancarkan ePENJANA pada bulan Julai 2020.
Di bawah program ini, lebih daripada 4.5 juta rakyat Malaysia menerima kredit eDompet bernilai RM50, yang boleh ditebus dengan menggunakan salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan eDompet yang terpilih, iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go. eDompet tempatan lain yang popular termasuklah Razer Pay, BigPay, Setel, Vcash dan MaybankPay.
Walaupun Malaysia telah melonggarkan sekatan pergerakan dan kini menjalani ‘normal baharu’, tren bagi pembayaran digital, terutamanya untuk membeli-belah dalam talian dan penghantaran makanan atau barang dapur melalui aplikasi, kemungkinan akan kekal dan tak mustahil akan meningkat berdasarkan kajian MasterCard.
Tak dinafikan lagi bahawa masyarakat tanpa tunai menerima banyak manfaat baik di peringkat mikro (individu) mahupun makro (nasional).
Kebanyakan negara maju telahpun menggunakan kaedah pembayaran digital dengan pesat, tetapi negara-negara membangun termasuk negara-negara Islam seperti Malaysia masih mengambil pendekatan yang lebih lambat atau berhati-hati. Dalam hal negara yang mempunyai ramai pengguna Islam, terdapat kebimbangan bagi isu-isu syariah mengenai penggunaan eDompet.
Adakah eDompet dibenarkan atau tidak? Implikasi syariah bagi eDompet
Terdapat dua jenis eDompet iaitu eDompet oleh bank dan bukan bank. eDompet bank disediakan oleh bank perdagangan dan dihubungkan dengan akaun debit atau kredit pelanggan yang dikendalikan oleh bank, manakala eDompet bukan bank disediakan oleh pengeluar bukan bank (non-bank issuer).
Untuk eDompet bank, kita dah pun tahu bagaimana bank menghasilkan wang. Maka apabila eDompet dipautkan dengan akaun bank Islam, masalah pematuhan syariah tidak timbul. Namun apabila pengeluar eDompet adalah sebuah pertubuhan bukan bank, mungkin terdapat beberapa isu berkaitan syariah yang perlu ditangani.
Bank konvensional bertahan dengan ‘memutarkan’ wang pelanggan. Dalam kes bank Islam pula, proses tersebut melibatkan prinsip syariah seperti mudharabah, musharakah, murabahah, tawarruq, ijarah, dan lain-lain.
Sebaliknya, pengeluar eDompet bukan bank menghasilkan wang dari pelbagai kaedah. Mereka mendapat komisen dari perniagaan untuk transaksi yang menggunakan eDompet. Mereka juga menjana pendapatan dari iklan atau biaya pemasaran bagi mempromosikan peniaga dan perniagaan.
Oleh kerana pengguna eDompet menyimpan wang muka dalam eDompet mereka, pengeluar eDompet memperoleh faedah deposit dari dana ini yang disimpan oleh pengguna. Maka timbul beberapa keraguan dalam hal ini: di manakah pengeluar eDompet meletakkan deposit tersebut, dan adakah wang itu digunakan secara patuh syariah?
Menurut peraturan syariah, semua transaksi mesti bebas dari unsur riba, gharar (ketidakpastian), maysir (perjudian), dan zulm (tindakan kejam atau tidak adil). Pihak-pihak yang berkontrak juga mesti mengetahui jenis aqad (tawaran dan penerimaan) yang ada dalam kontrak dan sama ada semua terma dan syarat aqad dipenuhi. Ini akan menentukan kesahihan kontrak tersebut dari sudut syariah.
Menurut Dr. Azrul Azhan Iskandar Mirza dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), penggunaan eDompet tempatan masih berada dalam batasan prinsip syariah. Beliau berpendapat bahawa eDompet tidak sama dengan simpanan bank konvensional.
Pensyarah USIM tersebut menyatakan bahawa syarikat penyedia eDompet tidak dibenarkan menggunakan wang deposit milik pengguna untuk apa jua tujuan sekalipun kecuali pengguna eDompet itu sendiri memilih untuk melakukan transaksi yang ada.
Sebagai contoh, jika Ahmad memasukkan RM100 ke dalam eDompetnya tetapi tidak melakukan apa-apa, syarikat penyedia eDompet tidak boleh menggunakan RM100 itu untuk tujuan apa pun.
Secara amnya, penggunaan eDompet adalah dibenarkan selagi ia tidak mempunyai unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip syariah, dan barang dan perkhidmatan yang dibeli melalui eDompet tidak haram, seperti alkohol atau kandungan pornografi digital.
Dr. Azrul juga memberikan dua contoh yang tidak patuh syariah yang harus diberi perhatian oleh pengguna Muslim dan penyedia eDompet:
- Promosi bonus isi semula
Terdapat penyedia eDompet yang menawarkan bonus kepada pengguna untuk tambah nilai yang dibuat. Sebagai contoh, pengguna mengisi RM100 dan dia menerima bonus tambahan sebanyak RM5. Sekiranya bonus tersebut adalah dalam bentuk pinjaman, maka bonus RM5 itu dikira sebagai faedah pinjaman, dan ini boleh dikategorikan sebagai riba.
- Cabutan bertuah
Terdapat juga penyedia eDompet yang menawarkan ‘cabutan bertuah’ kepada pengguna untuk mendorong mereka menggunakan perkhidmatan eDompet mereka. Sebagai contoh, pengguna perlu membayar RM1 dari eDompet mereka untuk menyertai cabutan bertuah.
Sekiranya mereka menang, mereka akan mendapat hadiah bernilai ribuan ringgit. Bagi pengguna yang tidak berjaya, wang mereka akan dikembalikan ke dalam eDompet. Komitmen RM1 untuk menyertai cabutan bertuah ini dianggap sebagai suatu bentuk perjudian yang tidak dibenarkan, walaupun wangnya dikembalikan.
Bank Negara Malaysia telah mengenal pasti bank-bank dan syarikat bukan bank yang dibenarkan untuk mengendalikan eDuit (eMoney), di mana isu aqadnyaberada dalam batasan syariah. Tetapi masih terdapat keraguan bagi beberapa promosi yang ditawarkan oleh para pengeluar eDompet.
Maybank Anytime Anywhere (MAE) dan Zapp Islamic adalah dua contoh eDompet yang patuh syariah oleh bank dan bukan bank. MAE adalah eDompet yang dikendalikan oleh Maybank Islamic berdasarkan kontrak syariah qard atau pinjaman. Zapp Islamic memastikan bahawa setiap transaksi di platformnya mematuhi syariah.
Secara keseluruhannya, Islam tidak pernah menghalang kita untuk menggunakan sebarang bentuk teknologi baharu. Apa jua jenis teknologi yang diciptakan, ia mestilah demi kebaikan umat manusia, memenuhi prinsip-prinsip syariah dan tidak boleh mencabar kuasa Tuhan. Oleh itu, segala bentuk evolusi dan inovasi harus diraikan sesuai dengan zaman selagi prinsip-prinsip syariah dipatuhi.