Di Malaysia, tiga kumpulan isi rumah yang dikelaskan ialah B40, M40, dan T20. B40 merujuk kepada Bottom 40%, iaitu kumpulan isi rumah terendah. M40 merujuk kepada Middle 40% (kumpulan pertengahan), manakala T20 merujuk kepada Top 20% (kumpulan tertinggi).
40% penduduk Malaysia tergolong dalam kumpulan B40, dan 40% pula tergolong dalam kumpulan M40, manakala 20% lagi tergolong dalam kumpulan T20.
Purata bulanan untuk pendapatan seisi rumah ialah RM4, 850 dan kebawah bagi B40, RM4,850 hingga RM10,959 bagi M40, dan RM10,960 dan ke atas bagi T20.
Berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan baru-baru ini, kumpulan isi rumah B40, M40 dan T20 kini dikelaskan kepada 10 kategori.
Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam sebuah laporan BERNAMA, kumpulan B40 boleh dikelaskan kepada B1, B2, B3 dan B4; kumpulan M40 kepada M1, M2, M3 dan M4 manakala kumpulan T20 kepada T1 dan T2.
Berikut merupakan 10 kategori baru yang dikelaskan:
Kumpulan Isi Rumah | Kategori | Pendapatan Isi Rumah |
---|---|---|
B40 | B1 | Kurang dari RM2,500 |
B2 | RM2,501 – RM3,169 | |
B3 | RM3,170 – RM3,969 | |
B4 | RM3,970 – RM4,849 | |
M40 | M1 | RM4,850 – RM5,879 |
M2 | RM5,880 – RM7,099 | |
M3 | RM7,100 – RM8,699 | |
M4 | RM8,700 – RM10,959 | |
T20 | T1 | RM10,960 – RM15,039 |
T2 | RM15,040 keatas |
Menurut Ketua Perangkawan, pengelasan ini akan membolehkan perancangan, pemantauan dan program yang lebih bersasar dilaksanakan bagi merapatkan jurang pendapatan antara isi rumah dalam usaha mencapai status Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
Ringkasan pendapatan isi rumah Malaysia bagi tahun 2019
Survei tersebut menunjukkan kumpulan B40 pada tahun 2019 merangkumi kira-kira 2.91 juta isi rumah, M40 membabitkan 2.91 juta isi rumah dan kira-kira 1.46 juta isi rumah berada dalam kumpulan T20. Survei yang dijalankan ini melibatkan 7.3 juta isi rumah warganegara Malaysia.
Pada tahun 2016, purata sebuah isi rumah ialah seramai 4.1 orang. Pada tahun 2019, saiz isi rumah telah menurun kepada 3.9 orang. Kira-kira 54% daripada isi rumah mempunyai lebih daripada satu orang penerima pendapatan. Empat punca pendapatan utama rakyat Malaysia ialah pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, harta dan pelaburan, serta pindahan semasa.
Pendapatan isi rumah purata di luar bandar meningkat lebih tinggi daripada paras nasional pada kadar 4.6%. Survei juga menemukan jurang pendapatan isi rumah purata antara Luar Bandar berbanding Bandar adalah sebanyak RM3,631.
Berikut ialah pendapatan mengikut negeri (disusun dari median tertinggi hingga median terendah):
Negeri | Median | Purata |
---|---|---|
Kuala Lumpur | RM10,549 | RM13,257 |
Putrajaya | RM9,983 | RM12,840 |
Selangor | RM8,210 | RM10,827 |
Labuan | RM6,726 | RM8,319 |
Johor | RM6,427 | RM8,013 |
Penang | RM6,169 | RM7,774 |
Melaka | RM6,054 | RM7,741 |
Terengganu | RM5,545 | RM6,815 |
Negeri Sembilan | RM5,055 | RM6,707 |
Perlis | RM4,594 | RM5,476 |
Sarawak | RM4,544 | RM5,959 |
Pahang | RM4,440 | RM5,667 |
Kedah | RM4,325 | RM5,522 |
Perak | RM4,273 | RM5,645 |
Sabah | RM4,235 | RM5,745 |
Kelantan | RM3,563 | RM4,874 |
Tiga daerah tertinggi pada kedua-dua pendapatan penengah dan purata ialah Petaling, Sepang, dan Gombak. Bagi Petaling, pendapatan penengah ialah RM8,993 manakala pendapatan purata ialah RM12,145. Sepang mencatatkan pendapatan penengah sebanyak RM8,937 manakala pendapatan purata ialah RM12,254. Gombak mencatatkan pendapatan penengah sebanyak RM8,501 dengan pendapatan purata RM11,536.
Tiga daerah terendah pada kedua-dua pendapatan penengah dan purata pula ialah Pitas, Tongod, dan Kota Marudu. Bagi Pitas, pendapatan penengah ialah RM1,999 manakala pendapatan purata ialah RM3,378. Tongod mencatatkan pendapatan penengah sebanyak RM2,197 manakala pendapatan purata ialah RM3, 64. Kota Marudu mencatatkan pendapatan penengah sebanyak RM2,425.
Punca Pendapatan
Berdasarkan kepada dapatan survei, pendapatan daripada pekerjaan bergaji merupakan punca pendapatan utama iaitu 61.6% daripada keseluruhan pendapatan isi rumah, diikuti dengan pendapatan daripada bekerja sendiri (17.3%) dan pendapatan daripada harta & pelaburan (12.9%). Sementara itu pindahan semasa diterima menyumbang sebanyak 8.2% kepada pendapatan isi rumah di Malaysia.
Pemilikan kemudahan asas di Malaysia
Bagi pemilikan rumah, seramai 76.9% rakyat Malaysia memiliki rumah pada tahun 2019, manakala 19.8% menyewa. Seramai 3.3% pula tinggal di kuarters. Kira-kira 40.7% rakyat Malaysia mendiami rumah teres, 30.9% mendiami rumah sesebuah, 9.4% mendiami rumah pangsa, 7.3% mendiami apartmen, 5.5% mendiami rumah berkembar, 2.7% mendiami kondominium, 1.6% mendiami rumah kedai, dan 1.1% mendiami rumah panjang.
Bagi pemilikan peralatan isi rumah, tiga peralatan dengan pemilikan teramai ialah telefon pintar, langganan Internet di rumah, dan kereta. Seramai 93.5% rakyat Malaysia memiliki telefon pintar, 90.3% melanggan Internet, dan 86.8% memiliki kereta. Untuk capaian utiliti awam di rumah pula, seramai 95.9% rakyat Malaysia mempunyai akses kepada bekalan air paip. 100% mempunyai bekalan elektrik, manakala hanya 68.9% mempunyai akses kepada perkhidmatan kutipan sampah.
Pendapatan Isi Rumah dan Inflasi
Berdasarkan penemuan survei HIS & BA, didapati bahawa pendapatan isi rumah telah meningkat lebih pantas berbanding kadar inflasi dari tahun ke tahun. Secara puratanya harga barang dan perkhidmatan telah meningkat sebanyak 23.% dalam tempoh 10 tahun, antara 2009 dan 2019. Dalam masa yang sama pendapatan isi rumah telah meningkat 2.0 kali ganda.
Peningkatan pendapatan juga boleh dilihat dari perspektif kumpulan isi rumah. Sejaktahun 2002, kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 juga menunjukkan peningkatan pendapatan bagi ketiga-tiga kumpulan ini sentiasa lebih tinggi berbanding peningkatan kadar inflasi. Peningkatan pendapatan ini secara tidak langsung akan meningkatkan kuasa beli isi rumah.