Dalam laporan FMT, pakar ekonomi Malaysia mengatakan bahawa kemerosotan ekonomi yang dialami akan menjadi lebih teruk dan lama berbanding yang diramalkan.
Angka rasmi menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia telah perlahan dengan pertumbuhan ekonomi untuk suku pertama jatuh kepada hanya 0.7% tahun ke tahun. Pertumbuhan jatuh sebanyak 2.0% berbanding suku sebelumnya yang menunjukkan bahawa kemelesetan telahpun bermula pada akhir bulan Mac.
Menurut Bank Dunia, ekonomi Malaysia dijangka akan bangkit semula dengan mendadak tahun depan dengan pengembangan sebanyak 6.9%. Namun sebelum itu, ekonomi negara berkemungkinan akan menghadapi pengurangan sebanyak 3.1% yang menyakitkan tahun ini disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan langkah-langkah untuk mengatasi penyebarannya, seperti penutupan beberapa sektor.
Pandemik yang melanda negara kita juga telah menyaksikan ramai pekerja yang diberhentikan kerja dan penutupan syarikat-syarikat disebabkan oleh kerugian yang besar.
Jabatan Perangkaan dalam laporan FMT mengatakan kadar pengangguran Malaysia pada bulan April meningkat kepada 5% dengan jumlah orang yang tidak bekerja telah meningkat kepada 778,800 orang.
Ketua ahli statistik Mohd Uzir Mahidin mengatakan sektor yang paling terjejas adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan, terutamanya tempat tinggal dan makanan dan minuman; seni, hiburan dan rekreasi; dan perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salun.
Dalam laporan yang sama juga, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) telah memberi amaran bahawa kadar pengangguran 5% pada bulan April hanyalah permulaan kepada lebih banyak pengangguran. MEF meramalkan sebanyak 12% pekerja akan kehilangan pekerjaan sehingga pertengahan tahun depan.
Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu ini, sukar untuk memastikan sama ada pekerjaan kita akan kekal selamat. Ikuti beberapa tips ini untuk bertahan ketika kemelesetan ekonomi berlaku:
- Utamakan pembayaran hutang
Sebelum tempoh moratorium berakhir, pastikan anda menyimpan wang yang mencukupi bagi melunaskan sebarang hutang tertunggak seperti pinjaman kereta atau baki kad kredit agar kewangan anda boleh ‘bernafas’. Dengan mengutamakan pembayaran hutang, sekurang-kurangnya ia tidak begitu menyesakkan anda sekiranya anda kehilangan pekerjaan nanti. - Utamakan simpanan kecemasan
Kehilangan pekerjaan akan menyukarkan anda untuk memenuhi keperluan harian. Dengan simpanan kecemasan yang mencukupi, ia mampu memenuhi keperluan harian anda sementara anda mencari kerja yang baru.
Walaupun anda membayar hutang, penting untuk anda mengutamakan menabung. Sebagai permulaan, anda boleh menyimpan wang untuk kegunaan harian selama satu bulan. Setelah anda bayar hutang anda, barulah fokus untuk membina simpanan kecemasan yang mencukupi selama tiga hingga enam bulan.
Walaupun melunaskan hutang adalah penting, mempunyai simpanan untuk kecemasan juga sama pentingnya. Elakkan daripada menggunakan semua wang anda untuk menyelesaikan hutang, sebab kita tak tahu hal yang bakal terjadi yang memerlukan anda untuk menggunakan wang. - Potong perbelanjaan yang tak penting dan elakkan berbelanja lebih daripada keperluan
Semak segala resit perbelanjaan, penyata bank, dan penyata kad kredit anda. Adakah anda berbelanja mengikut keperluan dan bajet yang ada? Inilah masanya untuk memotong perbelanjaan yang tak begitu penting seperti membeli kopi mahal atau langganan televisyen.
Pakar kewangan mengesyorkan untuk berbelanja tidak lebih dari 30% daripada pendapatan bersih anda (iaitu pendapatan selepas cukai) untuk kehendak, seperti makan di luar atau melancong. Sebaiknya buat bajet bulanan untuk memastikan anda hidup sesuai dengan kemampuan anda. Utamakan perbelanjaan seperti sewa rumah, ansuran kereta, utiliti, dan barangan dapur.
- Tingkatkan kemahiran atau belajar kemahiran baru
Salah satu pelaburan terbaik yang boleh anda lakukan adalah meningkatkan kemahiran profesional anda. Dengan kemahiran yang ada, terutamanya kemahiran dengan permintaan yang tinggi, ia boleh meningkatkan nilai anda di pasaran pekerjaan.
Covid-19 telah membuktikan bahawa betapa pentingnya kemahiran digital bagi menghadapi cabaran yang ada. Anda boleh lihat laman web MDEC, Atasi Cabaran Covid-19 Melalui Teknologi Digital, untuk tahu lebih lanjut mengenai potensi dan peluang yang ada.
Selain itu, MDEC dengan kerjasama Coursera telah melancarkan kempen Mari Belajar Digital yang menawarkan akses percuma membabitkan 3,800 kursus termasuk sijil profesional sehingga 31 Disember 2020 untuk rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan. - Jangan ambil risiko yang berkaitan dengan kewangan
Sepanjang tempoh kemelesetan ekonomi, elakkan daripada mengambil sebarang risiko yang berkaitan dengan kewangan, contohnya seperti mengambil pinjaman perumahan dengan kadar faedah terapung, menjadi penjamin, membuat pinjaman/pembiayaan baru yang tiada matlamat tepat atau membuat pelaburan besar.