Agama Islam merupakan panduan cara hidup buat seluruh umat manusia. Lantaran itu, ajaran yang dibawa oleh Islam merangkumi segenap aspek kehidupan seharian kita. Ini termasuklah aktiviti yang dikenali sebagai muamalat iaitu urusniaga jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam, dan sebagainya.
Bidang kewangan dan perbankan juga boleh dikategorikan sebagai muamalat. Dan tentunya Islam juga mempunyai sistem kewangan dan perbankan yang tersendiri yang berlandaskan hukum-hukum syariah.
Di antara produk kewangan yang paling mendapat sambutan adalah pinjaman atau pembiayaan peribadi. Ia merupakan instrumen penting yang dapat membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan.
Tujuan permohonan pinjaman atau pembiayaan peribadi adalah pelbagai. Di antaranya termasuklah bagi tujuan pelaburan strategik, penambahan aset, penyatuan hutang, perniagaan, perkahwinan, pelancongan, pengubahsuaian rumah, pembelajaran, dan lain-lain lagi.
Sekiranya anda juga memerlukan bantuan pinjaman atau pembiayaan peribadi, jenis yang manakah akan menjadi pilihan anda – konvensional atau Islamik? Berikut adalah perbezaan di antara pembiayaan peribadi Islamik dan pinjaman peribadi konvensional:
1. Pinjaman vs. Pembiayaan
Walaupun mempunyai konsep yang hampir sama, perbankan konvensional menggunakan terma ‘pinjaman’ manakala perbankan Islam menggunakan terma ‘pembiayaan’.
Mengikut pinjaman kewangan konvensional, pemberi pinjaman (pihak bank atau institusi kewangan) akan memberi pinjaman kepada peminjam dan memperoleh keuntungan daripada caj faedah yang dikenakan ke atas jumlah prinsipal.
Pembayaran secara ansuran dibuat melalui tempoh yang ditetapkan. Setiap bayaran ansuran yang dibuat peminjam akan diambil sebahagiannya untuk membayar servis faedah. Selebihnya akan digunakan untuk membayar prinsipal.
Mengikut pembiayaan kewangan Islam pula, pihak pembiaya (bank atau institusi kewangan) akan ‘membeli’ sesuatu untuk pelanggan dan kemudian ‘menjual’ kepada pelanggan tersebut dengan kadar keuntungan yang telah dipersetujui. Sebagai ganti kepada faedah, kadar keuntungan ditakrifkan di dalam kontrak.
Oleh demikian, istilah ‘pinjaman’ adalah tidak tepat kerana tidak ada wang yang sebenarnya dipinjamkan kepada pelanggan. Sebaliknya, pihak bank (atau institusi kewangan yang lain) akan ‘membiayai’ barangan bagi pihak pelanggan.
2. Hukum-hukum syariah
Oleh kerana pembiayaan Islam adalah berlandaskan prinsip-prinsip syariah, ia perlu bebas daripada sebarang unsur-unsur yang tidak beretika. Ini termasuklah riba (kadar faedah berganda yang membebankan), gharar (penipuan), maysir (perjudian), dan zulm (penindasan dan amalan tidak berakhlak).
Pinjaman konvensional pula mendapat keuntungan melalui riba (faedah yang dikenakan ke atas jumlah prinsipal). Selain itu, risiko kerugian juga adalah berat sebelah di mana ia ditanggung oleh peminjam sahaja.
3. Jumlah yang perlu dibayar
Mengikut pinjaman konvensional, jumlah yang perlu dibayar oleh peminjam akan berubah mengikut perubahan Kadar Pinjaman Asas (BLR – Base Lending Rate). Ini adalah kadar faedah minimum yang dikira oleh institusi-institusi perbankan. Ia berdasarkan formula yang mengambil kira kos perbelanjaan institusi-institusi dan caj-caj pentadbiran lain.
Bagi pembiayaan Islam pula, jumlah bayaran adalah jelas dan tetap sepanjang tempoh pembiayaan. Ini kerana jumlah maksimum yang perlu dibayar oleh pelanggan sudah dipersetujui lebih awal.
4. Pengubahsuaian terma
Bagi pinjaman konvensional, pengubahsuaian terma kewangan seperti peningkatan jumlah pinjaman hanya akan dikenakan duti setem ke atas Perjanjian Kemudahan Pinjaman.
Bagi pembiayaan Islam pula, Perjanjian Jual Dan Beli Balik (BBA) yang baru perlu disediakan. Ini akan menjadikan ia lebih mahal.
5. Penstrukturan semula
Sekiranya berlaku kegagalan, pinjaman konvensional adalah lebih mudah untuk melakukan penstrukturan semula berbanding pembiayaan Islam.
6. Penyelesaian awal
Mengikut perbankan Islam, caj bayaran lewat dikenakan sebagai bayaran kos rugi yang dihadapi oleh pembiaya akibat pelanggan tidak membayar hutangnya dalam waktu yang ditetapkan. Caj yang dikenakan hanyalah kepada baki jumlah pembiayaan.
Sistem pinjaman konvensional pula mengamalkan konsep faedah kompaun, iaitu faedah ke atas faedah. Semakin lama tiada pembayaran, semakin meningkat bayaran denda.
Berikut adalah contoh perbezaan di antara kedua-dua sistem tersebut. Sekiranya jumlah pinjaman adalah RM100,000 manakala caj lewat adalah 3%, pengiraannya adalah seperti berikut:
Pembiayaan Islamik:
Bulan pertama: RM100,000 x 3% = RM3000
Bulan kedua: RM100,000 x 3% = RM3000
Bulan ketiga: RM100,000 x 3% = RM3000
Jumlah denda sekiranya tidak bayar tiga bulan:
RM3000 + RM3000 + RM3000 = RM 9000
Pinjaman Konvensional:
Bulan pertama: RM100,000 x 3% = RM3000
Bulan kedua: (RM100,000 + RM3000) x 3% = RM3090
Bulan ketiga: (RM100,000 + RM3000 + RM3090) x 3% = RM3182.7
Jumlah denda sekiranya tidak bayar tiga bulan:
RM3000 + RM3090 + RM3182.7 = RM 9272.7
7. Insurans
Kebanyakan pinjaman konvensional mempunyai perlindungan insurans jenis konvensional. Majoriti pembiayaan kewangan Islamik pula diliputi dengan perlindungan insurans Takaful. Pelan insurans ini memiliki ciri patuh Syariah dan adalah berdasarkan konsep kerjasama dan perkongsian risiko.