Tahukah anda, pada tahun 2000, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengeluarkan sukuk? Perkataan sukuk berasal dari Bahasa Arab iaitu “shukuk” yang bermaksud sijil atau nota. Sukuk merupakan sijil kewangan Islam dan ia lebih kurang sama seperti bon dalam kewangan konvensional, tetapi mematuhi syariah.
Dalam struktur sukuk, pengeluar sukuk menjual sijil kepada kumpulan pelabur, dan kemudian menggunakan hasil tersebut untuk membeli aset, di mana kumpulan pelabur tadi merupakan sebahagian pemilik bagi aset tersebut. Pengeluar sukuk juga harus membuat perjanjian kontrak untuk membeli semula bon pada masa akan datang dengan nilai harga yang setara.
Disebabkan oleh unsur riba yang berleluasa dalam struktur bon konvensional, sukuk dicipta untuk menghubungkan pulangan dan aliran tunai pembiayaan hutang kepada aset tertentu yang dibeli. Pembiayaan hanya boleh dibangkitkan untuk aset yang boleh dikenalpasti.
Berikut merupakan empat perbezaan utama di antara sukuk dan bon konvensional:
- Sukuk melibatkan pemilikan aset manakala bon ialah obligasi hutang.
- Jika aset yang menyokong sukuk meningkat nilainya maka nilai sukuk akan turut meningkat, manakala keuntungan bon hanya berdasarkan kadar faedah.
- Aset yang menyokong sukuk adalah mematuhi syariah manakala bon mempunyai unsur riba dan ia boleh digunakan bagi membiayai perniagaan yang tidak mematuhi syariah.
- Penilaian sukuk adalah berdasarkan nilai aset yang menyokongnya manakala harga bon sebahagian besarnya ditentukan oleh penarafan kreditnya.
Terdapat beberapa jenis sukuk yang boleh didapati, iaitu:
- Sukuk Mudharabah
Sukuk mudharabah melibatkan perkongsian ekuiti. Dalam perjanjian ini, pemegang sukuk adalah rakan kongsi yang senyap (rab al mal) yang tidak terlibat dalam pengurusan aset, perniagaan, atau projek.
Pihak yang menggunakan dana yang dilaburkan merupakan mudarib. Mudarib berhak menerima bayaran dan/atau bahagian dari keuntungan, mengikut apa yang dinyatakan di dalam kontrak awal dengan pelabur.
- Sukuk Murabaha
Sukuk murabaha melibatkan perjanjian di antara pembeli dan penjual untuk penghantaran aset. Harga yang dinyatakan termasuk kos aset dan juga margin keuntungan yang dipersetujui bagi penjual.
Pembeli boleh membuat bayaran serta-merta atau pembayaran tertunda (sama ada secara ansuran atau sekaligus pada waktu akan datang). - Sukuk Musyarakah
Sukuk musyarakah menyokong aktiviti perniagaan usaha sama di mana semua rakan kongsi menyumbang modal, tenaga kerja, dan kepakaran. Semua pihak berkongsi keuntungan dan kerugian berdasarkan nisbah yang dipersetujui.
Dalam perjanjian ini, pemegang sukuk (pelabur) adalah pemilik usaha sama, aset, atau aktiviti perniagaan dan oleh itu ia berhak untuk berkongsi keuntungan. Jawatankuasa wakil pelabur akan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan. Sukuk musyarakah juga boleh didagangkan di pasaran sekunder.
- Sukuk Salam
Sukuk salam melibatkan pembelian dengan penghantaran tertunda. Aset dihantar kepada pembeli pada masa akan datang sebagai pertukaran bagi bayaran pendahuluan penuh kepada penjual.
- Sukuk Wakalah
Dalam sukuk wakalah, pelabur melantik ejen (wakil) untuk melabur dana yang disediakan oleh pelabur kepada kumpulan pelaburan atau aset. Wakil meminjamkan kepakarannya dan menguruskan pelaburan tersebut bagi pihak pelabur untuk jangka masa tertentu, demi menghasilkan pulangan keuntungan yang dipersetujui. - Sukuk Ijarah
Sukuk ijarah merupakan struktur sukuk klasik yang paling sering digunakan. Ia berdasarkan kepada prinsip sewaan atau pajakan di mana pemegang sukuk (pelabur) adalah pemilik aset dan ia berhak menerima pulangan apabila aset itu dipajak. - Sukuk Musaqah
Sukuk ini melibatkan penggunaan dana hasil pengeluaran sukuk bagi pengendalian irigasi untuk tanaman berbuah, membayar operasi dan penjagaan tanaman tersebut. Pemegang sukuk berhak ke atas bahagian keuntungan seperti yang dipersetujui. - Sukuk Muzara’ah
Sukuk muzara’ah melibatkan perkongsian saham. Perjanjian dibuat di antara dua pihak di mana satu pihak bersetuju untuk membenarkan sebahagian tanahnya digunakan oleh pihak yang lain sebagai balasan bagi menerima sebahagian daripada hasil tanah itu.
Pelabur dalam sukuk tidak memiliki obligasi hutang yang ditanggung oleh pengeluar bon, tetapi hanya memiliki aset yang berkaitan dengan pelaburan yang dibuat. Ini bermakna pemegang sukuk, tidak seperti pemegang bon, menerima sebahagian daripada pendapatan yang dihasilkan oleh aset bersekutu.