Akibat daripada kurang pendedahan, masih ramai yang tidak memahami mengenai kutipan dan pengiraan cukai pendapatan di negara ini. Golongan belia dan yang baru sahaja melangkah kealam pekerjaan pastinya setuju dengan kenyataan ini.
Menyedari perkara tersebut, kerajaan telah mengambil pelbagai usaha seperti mengadakan Kem Cerdik Cukai bagi melahirkan generasi yang memahami kepentingan membayar cukai.
Bagaimana pula anda? Adakah anda masih samar-samar mengenai cukai pendapatan? Sekiranya anda menjawab “Ya”, pastikan anda membaca panduan kami ini dengan lebih lanjut.
Berikut adalah 7 perkara yang perlu anda tahu mengenai cukai pendapatan 2020:
1. Tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia
Di negara ini, sistem taksiran sendiri digunakan untuk mengira cukai pendapatan yang perlu dibayar. Setiap orang yang memenuhi syarat perlu menyerahkan borang taksiran secara atas talian melalui sistem e-filing kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Di dalam borang taksiran tersebut, setiap individu perlu isytiharkan semua pendapatan bercukai, potongan cukai, pelepasan cukai, dan rebat cukai yang diperoleh pada tahun sebelumnya. Cukai pendapatan 2020 bermaksud taksiran bagi maklumat yang diperolehi pada 2019.
Jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar akan dijana secara automatik setelah semua maklumat tadi siap diisytiharkan. Individu yang TIDAK menjalankan perniagaan perlu menyerahkan borang taksiran pada atau sebelum 30 April setiap tahun. Bagi yang menjalankan perniagaan, tarikh akhir adalah 30 Jun.
Setiap individu perlu kemukakan kesemua dokumen yang berkaitan seperti salinan borang taksiran, resit-resit perbelanjaan untuk potongan, pelepasan dan rebat cukai, sijil perkahwinan, sijil perakuan doctor, dan lain-lain. Dokumen-dokumen tersebut perlu disimpan untuk tempoh 7 tahun daripada tahun taksiran. Setiap individu juga perlu bersedia untuk diaudit (menyerahkan dokumen) oleh LHDN.
2. Siapa perlu bayar cukai pendapatan?
Anda tergolong dalam kalangan layak dikenakan cukai pendapatan sekiranya anda adalah seorang:
- Individu berstatus bujang yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM34,001 setahun (selepas potongan KWSP). Ini adalah bersamaan dengan RM2,833.42 sebulan.
- Individu berkahwin dan pasangan tidak bekerja yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM46,001 setahun. Ini adalah bersamaan dengan RM3833.42 sebulan.
- Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun perniagaan mengalami kerugian)
- Pekerja baharu yang dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB)
- Individu yang mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai
- Individu yang menjual/membeli hartanah
3. Potongan cukai
Perkara-perkara berikut adalah dibenarkan potongan daripada pendapatan bercukai:
- Derma/hadiah kepada Kerajaan/Kerajaan Tempatan
- Derma/Hadiah wang kepada institusi/organisasi yang diluluskan (terhad kepada 7% daripada pendapatan agregat)
- Derma/Hadiah wang atau kos sumbangan manfaat kepada aktiviti sukan atau Badan Sukan yang diluluskan (terhad kepada 7% daripada pendapatan agregat)
- Derma/Hadiah wang atau kos sumbangan manfaat kepada projek berkepentingan Negara yang diluluskan (terhad kepada 7% daripada pendapatan agregat)
- Hadiah artifak, manuskrip, atau lukisan
- Derma/Hadiah wang untuk kemudahan perpustakaan atau kepada perpustakaan
- Derma/Hadiah wang atau sumbangan manfaat bagi menyediakan kemudahan di tempat awam untuk orang yang kurang upaya
- Derma/Hadiah wang atau kos peralatan perubatan kepada mana-mana badan rawatan kesihatan
- Hadiah lukisan kepada Balai Seni Lukis Negara atau Balai Seni Lukis Negeri
4. Pelepasan cukai
Pelepasan cukai merujuk kepada perbelanjaan-perbelanjaan atau perkara-perkara yang dibenarkan untuk ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan supaya dapat mengurangkan pendapatan bercukai.
Pelepasan ini diberikan bagi menggalakkan perbelanjaan-perbelanjaan tertentu (seperti membeli buku dan peralatan sukan) dan mengurangkan beban-beban kewangan yang ditanggung (seperti perbelanjaan perubatan ibubapa atau yuran pendidikan).
Senarai perkara-perkara yang diberikan perlepasan adalah banyak dan boleh dirujuk di sini.
5. Rebat cukai
Rebat cukai adalah keistimewaan yang diberikan untuk mengurangkan jumlah cukai perlu bayar. Rebat ini akan ditolak terus dari jumlah cukai perlu bayar, bukannya daripada jumlah pendapatan bercukai.
Rebat pertama adalah rebat suami/isteri (RM 400) bagi individu yang mempunyai pendapatan bercukai kurang RM 35,000.
Rebat kedua adalah rebat Zakat/Fitrah bagi rakyat beragama Islam yang sudahpun membayar Zakat/Fitrah.
6. Potongan Cukai Berjadual (PCB)
Potongan Cukai Berjadual (PCB) adalah keadaan di mana majikan memotong sebahagian pendapatan pekerja yang mana potongan ini adalah untuk cukai pendapatan tahun semasa. Ia dapat membantu untuk mengurangkan beban membayar cukai yang dikenakan secara sekaligus. Potongan yang dibuat adalah berdasarkan kepada data peribadi pekerja dan jadual pemotongan yang dikeluarkan oleh LHDN.
Bagaimanapun, PCB bukan semestinya jumlah akhir pendapatan bercukai yang perlu dibayar. Anda masih perlu menyerahkan borang taksiran kepada LHDN melalui e-filing kerana perlu mengisytiharkan pendapatan lain, potongan, pelepasan, dan rebat cukai yang ada.
7. Lebihan pembayaran cukai
Dengan adanya PCB, kadangkala berlaku situasi dimana terdapat lebihan pembayaran cukai. Ini kerana potongan PCB yang dibuat melebihi pendapatan bercukai akhir yang telah ditolak potongan, pelepasan, dan rebat cukai.
Lebihan ini akan dipulangkan oleh LHDN ke akaun yang diberikan semasa mengisi boring taksiran, atau melalui baucer khas.