Pada 16 Mac 2020, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada hari Rabu, 18 Mac hingga Selasa, 31 Mac 2020, di seluruh negara. Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Di bawah perintah ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan mesti ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat pula ditangguhkan.
Selain itu, semua institusi pendidikan dan premis kerajaan dan swasta diarahkan untuk ditutup, kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) seperti air dan elektrik.
Terdapat juga golongan pekerja yang diberi kebenaran untuk bekerja di rumah, manakala sebahagian orang pula melakukan kuarantin secara sukarela. Dengan pergerakan yang terhad sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, berikut ialah enam cara untuk kekal produktif di rumah:
- Semak semula bajet dan perbelanjaan isi rumah anda
Tidak semua orang berpeluang untuk mengekalkan pendapatan sedia ada dengan bekerja di rumah atas kebenaran majikan. Ramai di antara kita yang perlu mencari rezeki di luar atau tidak mampu untuk bercuti tanpa gaji.
Buat anda yang mengalami masalah kewangan pada saat yang genting ini, cuba semak semula bajet dan perbelanjaan isi rumah. Potong sebarang perbelanjaan yang tidak penting, contohnya seperti membeli makanan di luar atau langganan TV. Mula menabung untuk kecemasan jika anda belum ada tabung kecemasan.
- Buat e-Filing cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2019
Jika anda belum mengisi dan menghantar cukai pendapatan, ambil kesempatan ini untuk membuat e-filing sebelum 30 April (jika anda tidak menjalankan perniagaan) atau 30 Jun (jika anda menjalankan perniagaan). - Kemas kini resume, laman LinkedIn, atau sebarang maklumat yang berkaitan dengan kerjaya anda
Resume yang bagus dan mengagumkan memerlukan masa yang lama untuk dibuat. Selain itu, jika anda berjaya menerima sijil profesional, anda boleh menayangnya di laman LinkedIn. Mengemas kini maklumat yang berkaitan degan kerjaya adalah penting bagi membuktikan nilai anda di pasaran kerja, lebih-lebih lagi jika anda bercadang untuk mencari kerja baru dalam masa terdekat. - Ambil kelas dalam talian
Jika anda dah lama berhajat untuk belajar bahasa baru, melukis, atau apa saja ilmu yang anda minati, anda boleh mulakan kelas dalam talian. Terdapat pelbagai kelas dalam talian yang bukan saja murah bahkan juga percuma.
Berikut ialah beberapa platform pembelajaran dalam talian yang menawarkan kelas-kelas dengan harga yang murah atau percuma:
- EdX
EdX menawarkan lebih daripada 2500 kelas dalam talian dari pelbagai institusi ternama seperti Harvard University dan Berkeley. Antara subjek yang ditawarkan ialah sains komputer, perniagaan dan pengurusan, bahasa, kejuruteraan, sains data, dan kemanusiaan.
- Coursera
Coursera menawarkan pelbagai kursus dalam talian dengan kerjasama dari pelbagai institusi dan syarikat ternama seperti Stanford, Google, dan IBM. - Future Learn
Future Learn menawarkan pelbagai kursus dalam talian dari pelbagai institusi ternama di dunia. Selain kelas dalam talian yang percuma, ia turut menawarkan program sarjana muda dalam talian yang fleksibel. - Skillshare
Untuk anda yang meminati bidang kreatif, Skillshare ialah platfom yang menawarkan kelas kreatif dalam talian seperti senireka grafik, fotografi, perfileman, atau animasi. - Udemy
Jika anda ingin mengambil kelas dalam talian yang mengikuti jadual waktu anda, Udemy menawarkan pelbagai kursus yang fleksibel. Antara subjek yang ditawarkan ialah perniagaan, senireka, fotografi, pemasaran, dan teknologi.
- Mulakan hobi atau projek baru
Dah lama nak bina laman web sendiri? Mungkin anda ingin menulis novel dengan serius? Atau adakah anda ingin mempunyai perniagaan dalam talian? Inilah masanya untuk memulakan hobi atau projek baru. - Baca buku yang anda selalu tak sempat nak baca
Bagi ulat buku, mungkin anda tak sempat nak membaca disebabkan oleh kehidupan seharian yang sibuk. Sekarang bolehlah anda sambung baca buku yang tidak sempat dibaca selama ini.