Setiap orang perlukan wang demi kelangsungan hidup. Di zaman ini, agak mustahil untuk hidup tanpa bergantung kepada wang sama sekali. Semua orang sedia maklum bahawa wang merupakan sebuah bahasa yang universal.
Jika digunakan dengan baik, ia boleh menyelesaikan sesuatu masalah atau membantu anda dalam mencapai sasaran anda. Jika ia disalah guna, terdapat pelbagai kesan negatif yang bakal anda hadapi, dan salah satunya ialah ia boleh merosakkan hubungan anda dengan pasangan anda.
Menurut sebuah laporan New Straits Times, masalah kewangan merupakan punca utama bagi perceraian di Malaysia. Maklumat yang dipetik dari Tribunal Perkahwinan Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bahawa daripada 6,901 kes yang dirujuk kepada tribunal, 2,971 kes adalah berkaitan dengan masalah kewangan dalam keluarga (bagi tahun 2018).
Berikut merupakan enam cara wang boleh merosakkan hubungan anda dengan pasangan, dan lihat jika anda atau pasangan anda ada melakukan perkara-perkara ini:
- Curang dari segi kewangan
Ramai orang tahu curang dari segi emosi dan fizikal boleh merosakkan hubungan suami isteri. Namun ramai yang ambil mudah dengan kecurangan dari segi kewangan yang dilakukan pasangan.
Curang dari segi kewangan termasuk menipu pasangan mengenai pembelian yang dibuat, menyorok barangan mahal yang dibeli, dan merahsiakan aset-aset yang ada daripada pengetahuan pasangan.
Pastikan anda dan pasangan jujur dalam segala pembelian yang dibuat dan pelbagai aset yang ada dalam pegangan, kerana masing-masing berhak untuk tahu. Ini juga akan memudahkan semua pihak dalam urusan pembahagian harta sekiranya salah seorang daripada anda meninggal dunia. - Bersifat bak diktator dalam hal-hal kewangan
Dalam hal-hal berkaitan kewangan, sebaiknya kedua-dua belah pihak membuat keputusan yang dipersetujui bersama. Tiada siapa yang suka dikawal seperti kanak-kanak, dan pihak yang dikawal selalunya akan memendam rasa yang akan mengakibatkan berlakunya kecurangan dari segi kewangan.
Anda dan pasangan hendaklah memutuskan had perbelanjaan masing-masing untuk setiap bulan, dan elakkan daripada menghakimi pembelian yang dibuat pasangan. Mungkin bagi anda pembelian tersebut tidak penting, namun ia sangat bermakna bagi pasangan anda. - Lebih mementingkan wang daripada pasangan
Jika anda menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga dalam meraih pendapatan melebihi yang sepatutnya, besar kemungkinan pasangan anda (dan keluarga) akan terabai.
Biasanya pasangan yang jarang meluangkan masa bersama-sama akan lebih mudah bertengkar, tak kiralah berapa banyak wang yang ada. Hidup bertuhankan wang tidak menjamin kebahagiaan. Wang seharusnya menyelesaikan masalah, bukan menimbulkan masalah. - Bersaing dengan pasangan dalam meraih pendapatan yang lebih tinggi
Pasangan anda bukan pesaing anda, jadi tak perlulah lihat siapa yang berpendapatan lebih tinggi. Tak kiralah sekecil mana pun pendapatan pasangan anda, hargailah kerja kerasnya. Jika gaji anda lebih tinggi, ia tidak bermakna anda berkuasa mutlak dalam mengawal segala urusan kewangan. - Culas dalam pemberian nafkah
Dalam masyarakat Islam, suami dilihat sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan nafkah terhadap isteri dan keluarga sesuai dengan kemampuannya, terutamanya makanan dan pakaian yang mencukupi serta tempat tinggal yang sesuai.
Seorang suami tidak seharusnya melepaskan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah, walaupun isteri juga bekerja. Dalam hal ini isteri juga digalakkan untuk tidak berbelanja secara keterlaluan. - Tidak menetapkan matlamat kewangan
Dengan menetapkan matlamat kewangan yang ingin dicapai bersama, ia secara langsung boleh membantu anda dan pasangan dalam menentukan perbelanjaan lain yang ingin dibuat.
Sebagai contoh, anda dan pasangan ingin membeli sebuah rumah, dan dengan itu masing-masing hendaklah mula berjimat-cermat dan menabung. Dengan matlamat yang sama, anda tidak akan bergaduh dengan pasangan mengenai wang kerana masing-masing ingin mencapai matlamat yang ada.
Bukan mudah untuk hidup berumahtangga. Mulai daripada melangsungkan majlis perkahwinan sehinggalah kepada membeli rumah, hampir setiap aspek daripada kehidupan kita melibatkan penggunaan wang.
Kestabilan rumahtangga dan hubungan dengan pasangan juga sangat bergantung kepada cara penggunaan wang dan pandangan anda mengenai wang. Penggunaan wang yang bijak dan sikap yang tidak bertuhankan wang merupakan antara kunci-kunci utama kepada hubungan suami isteri yang harmoni.