Bukan semua orang layak memiliki kad kredit. Hanya mereka yang mempunyai kewangan yang stabil dan bijak dalam menguruskan kewangan sahaja yang boleh memiliki kad kredit.
Meskipun peratus pengguna di Malaysia yang muflis akibat hutang kad kredit berada di paras yang sangat rendah, sebanyak 47% golongan muda di Malaysia memiliki hutang kad kredit yang tinggi, menurut sebuah laporan The Star.
Jika anda ialah seorang pemegang kad kredit, pastikan anda tidak ketinggalan dalam membuat pembayaran bulanan. Terdapat pelbagai kesan negatif yang boleh terjadi sekiranya anda sering terlepas bayaran atau gagal membuat bayaran, contohnya seperti:
- Kadar faedah yang lebih tinggi
- Yuran bayaran lewat sebanyak min. RM10 atau 1% daripada jumlah baki tertunggak
- Laporan/skor kredit yang lebih rendah
- Tindakan undang-undang dari pihak bank
Pastikan anda tidak terlepas lima waktu terbaik ini dalam membayar semula hutang kad kredit:
- Sebelum membuat pembelian yang besar/mahal
Elakkan daripada membuat pembelian yang besar atau mahal jika kad kredit anda masih mempunyai baki tertunggak kerana ia akan mempengaruhi skor kredit anda. Jadi, waktu yang terbaik untuk anda bayar hutang kad kredit ialah sebelum anda membeli sesuatu yang memakan belanja besar, seperti perabot atau mesin basuh. - Setelah gaji masuk
Bayar segala hutang yang ada, termasuk hutang kad kredit, secepat yang mungkin sebaik sahaja anda menerima gaji. Dengan mendahulukan bayaran hutang, anda boleh mengelak daripada dikenakan kadar faedah yang lebih tinggi, yuran bayaran lewat dan skor kredit yang rendah. - Seawal yang mungkin dalam kitaran bil
Membayar hutang kad kredit anda pada awal kitaran pengebilan boleh mengurangkan kadar faedah atau kadar keuntungan anda (jika pembayaran awal dibuat secara konsisten), terutamanya jika anda tidak membuat pembelian lain semasa kitaran bil tersebut.
Ini kerana pengeluar kad kredit anda akan melihat baki harian atau purata baki harian untuk mengira caj yang akan dikenakan. Dengan baki yang lebih rendah dalam kebanyakan hari bagi setiap kitaran bil, caj yang dikenakan juga akan berkurangan. - Sebelum tarikh tutup penyata akaun
Untuk memastikan baki kad kredit yang lebih rendah dilaporkan kepada biro kredit, buat pembayaran kad kredit anda sebelum tarikh tutup penyata akaun. Jika baki kad kredit anda tinggi ketika laporan kredit dikemas kini, ia boleh menghasilkan skor kredit yang lebih rendah.
Kenapa penting bagi anda mempunyai skor kredit yang tinggi? Kerana skor kredit yang tinggi boleh meningkatkan kelayakan anda dalam permohonan pinjaman atau kad kredit yang baru.
Dalam kata lain, skor kredit merupakan salah satu faktor yang boleh meyakinkan pihak bank dalam memberikan pinjaman untuk anda, tak kiralah pinjaman peribadi, perumahan, kereta, atau perniagaan.
jadi, pastikan baki hutang kad kredit anda yang dilaporkan kepada biro kredit adalah rendah dengan membuat pembayaran awal, dan elakkan daripada membuat sebarang pembelian yang baru sebelum tarikh tutup penyata yang seterusnya. - Sebelum tarikh akhir bayaran bil
Membuat bayaran minimum sebelum jam cut-off pada tarikh akhir yang ditetapkan akan mengekalkan kedudukan akaun kad kredit anda dan mengelakkan anda daripada dikenakan caj bayaran lewat.
Sekiranya anda terlewat dalam membayar kad kredit anda, walaupun hanya beberapa minit, ia mungkin boleh mengakibatkan anda dikenakan caj. Kalau anda ingin membuat bayaran di saat-saat akhir, pastikan anda belum melepasi jam cut-off yang ditetapkan.
Selain itu, bayaran yang lewat juga boleh menyebabkan ganjaran-ganjaran yang anda perolehi melalui kad kredit dibatalkan.
Walaupun kad kredit pada dasarnya boleh memudahkan urusan harian anda, ia juga boleh menjerat anda dengan bebanan hutang sekiranya anda kurang peka dengan perkara-perkara seperti waktu yang terbaik bagi membayar hutang kad kredit dan menguruskan kewangan dengan bijak, terutamanya berjimat-cermat dalam perbelanjaan.
Buat anda yang ingin menambah koleksi kad kredit atau merancang memiliki kad kredit anda yang pertama, apa kata anda pertimbangkan kad kredit Islamik?
Terdapat beberapa kelebihannya yang tersendiri, seperti tapisan transaksi yang dijamin halal, ketiadaan faedah dan caj pengkompaunan, rebat bagi pembayaran awal, kemudahan pembayaran zakat, dan perlindungan takaful.
Cari kad kredit Islamik patuh Syariah yang terbaik untuk anda di As-Sidq sekarang!