Dalam laporan AFP, Arab Saudi telah menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan Covid-19 bermula pada bulan Mac yang lalu. Umat Islam juga digesa untuk menangguhkan rancangan bagi menunaikan haji pada tahun ini sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.
Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga telah menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha tahun ini sememangnya lain daripada tahun-tahun sebelumnya disebabkan oleh pandemik yang masih berleluasa. Sebelum adanya vaksin, kita tiada banyak pilihan selain terus menjalani hidup dalam normal baharu dan mematuhi SOP yang ada.
Setelah beberapa bulan, kerajaan akhirnya membenarkan penganjuran semua majlis sosial termasuk ibadah korban mulai 1 Julai ini, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam sebuah laporan MalaysiaKini baru-baru ini.
Majlis sosial yang dibenarkan merangkumi kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis-majlis lain yang berkaitan dengan agama seperti majlis tahlil, aqiqah dan doa selamat, serta majlis sambutan ulangtahun perkahwinan, hari lahir dan sebagainya.
Bagi aktiviti ibadah korban, ia dibenarkan di semua masjid, surau dan kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan.
Manakala ibadah korban di negeri-negeri lain pula adalah tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
Menurut menteri kanan lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan SOP Ibadah Korban yang boleh dijadikan rujukan bagi pelaksanaan di negeri-negeri lain.
Tinggal sebulan saja lagi bagi menyambut Hari Raya Aidiladha. Walaupun kes harian Covid-19 di negara kita telah berkurangan menjadi dua atau satu digit, kita masih perlu berwaspada dan menjaga keselamatan diri dan keluarga.
Berikut ialah empat tips persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha dalam normal baharu:
- Kekalkan amalan 3W dan elakkan 3C yang dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
KKM menggalakkan konsep 3W yang merangkumi: kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).
Peringatan itu termasuk elak bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah serta elakkan amalan kunjung-mengunjung jika tidak berkepentingan.
Selain itu, elakkan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
Sama ada anda tetamu atau tuan rumah bagi majlis Hari Raya Aidiladha nanti, pastikan anda kekalkan amalan 3W dan elakkan 3C. - Patuhi SOP yang ditetapkan bagi majlis sosial
Majlis sosial yang dianjurkan perlu dihadkan antara tiga hingga lima jam dengan kapasiti kehadiran tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tertakluk kepada saiz ruang tempat itu diadakan. Bufet tidak dibenarkan melainkan ia dihidangkan oleh pramusaji.
Penganjur majlis juga perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan tetamu, pemakaian pelitup separuh muka serta merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh baca SOP Am Pelaksanaan Majlis Sosial yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
- Patuhi SOP solat berjemaah yang ditetapkan
Bermula 12 Jun, semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan telah dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan satu pertiga daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama.
Setakat ini, jemaah yang bergejala dan/atau menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan hadir. Jika anda bercadang untuk bersolat sunat Aidiladha di masjid, pastikan anda patuhi SOP am yang ada, contohnya seperti:
– Kekalkan jarak sejauh 1 meter antara jemaah lain
– Memakai pelitup muka
– Mengambil wuduk di rumah siap-siap
– Membawa sejadah dan telekung sendiri
– Tidak bersalaman dan bersentuhan sepanjang berada di masjid - Jangan hadiri atau anjurkan majlis jika anda bergejala
Jika anda bergejala, segera dapatkan rawatan dan jangan hadiri atau anjurkan majlis. Walaupun hanya demam biasa, kita mesti lebih berwaspada di musim pandemik ini. Anda boleh berkomunikasi dengan ahli keluarga yang berjauhan melalui panggilan video sekiranya anda tidak sihat.