Bila ada ahli keluarga atau kawan yang ingin meminjam wang, pastinya ramai di antara kita yang menuruti permintaan mereka demi menjaga hati dan hubungan kekeluargaan atau persahabatan. Disebabkan kita dah lama mengenali mereka, kita pun bersangka baik yang mereka akan menepati janji mereka dalam membayar semula wang yang dipinjam.
Hari demi hari berlalu. Namun wang yang dipinjamkan masih belum muncul dalam akaun bank anda seperti yang dijanjikan. Anda mulai resah; terdapat bil yang perlu dibayar. Anda memerlukan wang tersebut secepat yang mungkin, tetapi dalam masa yang sama anda tidak ingin kelihatan terlalu agresif dalam meminta semula wang anda.
Ikuti empat cara yang baik ini untuk mendapatkan semula wang yang dipinjamkan:
- Tanya dengan sopan pada masa yang sesuai
Antara “Hey, bila kau nak pulangkan balik duit yang aku bagi pinjam haritu?” dengan “Minggu depan aku cadang nak pergi bayar cukai/bil eletrik, agak-agak bila kau boleh bayar balik duit yang aku pinjamkan haritu ya?”, yang mana satu kedengaran kasar dan boleh menyebabkan ketegangan?
Dalam menuntut hak kita sekalipun, kita dinasihatkan untuk bersopan-santun, lebih-lebih lagi dengan keluarga atau teman sendiri. Mungkin mereka benar-benar terlupa dalam membayar semula wang anda, jadi tak salah kalau anda bertanya mengenainya. Pastikan anda tanya pada masa yang sesuai bagi meningkatkan lagi peluang anda untuk mendapatkan semula wang tersebut, contohnya pada minggu gaji masuk (hujung bulan). - Minta seseorang yang rapat dengan peminjam untuk mengingatkannya
Jika anda rasa serba-salah dalam meminta wang secara terus dari si peminjam, anda boleh minta seseorang yang rapat dengannya bagi mengingatkannya mengenai hutang yang perlu dibayar balik kepada anda, contohnya seperti suami, isteri, atau adik-beradik.
Mereka boleh membantu anda dalam hal ini, dan cara ini sangat digemari ramai kerana ia tidak memalukan peminjam sekiranya dia masih memerlukan sedikit masa untuk membayar semula wang tersebut. - Buat pelan bayaran yang fleksibel
Sekiranya peminjam masih mempunyai masalah dalam membayar semula hutangnya kepada anda, anda boleh membuat pelan bayaran yang fleksibel dalam tempoh yang ditetapkan yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Ini untuk memudahkan anda dalam menjejak jumlah hutang yang telah dibayar dan mengurangkan beban peminjam kerana dia tidak perlu membayar hutangnya secara sekaligus, terutama jika jumlah wang yang dipinjam itu besar.
Sebagai contoh, jika peminjam meminjam RM2,400, mungkin anda boleh cadangkan kepadanya untuk membayar secara ansuran sebanyak RM200 setiap bulan (bagi tempoh masa setahun). Berapa jumlah bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam bergantung kepada budi bicara anda dan juga kemampuan peminjam. - Cadangkan cara pembayaran yang berbeza
Jika peminjam benar-benar dibebani masalah kewangan dan tidak mampu membayar semula hutangnya kepada anda dalam masa yang terdekat, anda boleh cadangkan cara pembayaran yang berbeza. Jika peminjam pakar dalam sesuatu perkara, mungkin anda boleh mendapatkan perkhidmatannya dengan percuma.
Sebagai contoh, anda memerlukan khidmat pereka grafik untuk perniagaan anda. Peminjam seorang yang pakar dalam senireka grafik, jadi anda boleh cadangkan kepadanya untuk mereka logo atau apa saja yang diperlukan secara percuma (pastikan khidmat itu setimpal dengan nilai pinjaman).
Selain itu, mungkin peminjam memiliki sesuatu yang anda inginkan, contohnya seperti mesin taip antik. Anda boleh membuat pertukaran dengan peminjam jika dia rela melepaskan barang tersebut (pastikan juga barang tersebut setimpal dengan nilai pinjaman).
Apa yang patut anda buat jika peminjam masih gagal membayar semula hutangnya?
Dah pelbagai cara yang anda cuba, tetapi peminjam masih gagal dalam membayar semula wang yang dipinjam. Apa yang patut anda lakukan sekarang?
Jika anda sangat prihatin dengan situasi peminjam, anda boleh membantunya dalam menguruskan kewangannya.
Barangkali peminjam tidak begitu celik dalam pengurusan kewangan, jadi anda boleh memainkan peranan dengan membimbingnya dalam menyediakan bajet isi rumah, menyimpan wang, dan menguruskan segala hutang yang ada.
Anda juga boleh membawanya ke Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan nasihat kewangan atau menyertai program pengurusan hutang secara percuma. Mungkin setelah ini peminjam mampu membayar semula wang anda.Cara lain untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan menganggap pinjaman yang diberi sebagai sedekah, dan anda mempunyai pilihan untuk tidak memberi pinjam lagi wang anda kepadanya di masa hadapan.