Satu Malaysia kecoh seketika tidak lama dulu disebabkan oleh peningkatan bil elektrik yang melonjak sebanyak 25% hingga 40% semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, mengejutkan ramai pengguna.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam laporan Sinar Harian, punca kenaikan itu disebabkan oleh bacaan meter yang telah terkeluar dari blok tarif asal akibat penggunaan elektrik yang tinggi semasa tempoh PKP.
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), pengguna kategori Domestik/Kediaman layak menerima diskaun ke atas bil elektrik mulai penggunaan 1 April hingga 31 Disember 2020.
Berikut ialah kadar diskaun bagi pengguna kategori Domestik/Kediaman:
Jumlah penggunaan sebulan | Tarif | Kadar diskaun |
Di antara 1-200kWh atau sehingga RM43.60 | A | 50% |
Di antara 201-300kWh atau RM43.70 hingga RM77.00 | A | 25% |
Di antara 301-600kWh atau RM77.10 hingga RM231.80 | A | 15% |
Melebihi 600kWh atau melebihi RM231.80 | A | 2% |
Sumber: TNB
Selain itu, TNB juga memberi jaminan tiada aktiviti pemotongan elektrik akan dilakukan ke atas pengguna yang gagal membuat bayaran bil sehingga 30 September ini.
Buat anda yang masih bergelut dengan masalah kewangan dan mungkin berhadapan dengan kesukaran untuk membayar bil elektrik, ikuti beberapa tips ini untuk mengurangkan bil yang tinggi:
- Tanggalkan segala pengecas dan plag yang ada jika tidak digunakan
Tak kiralah apa jenis peranti yang ada di rumah, termasuk fon pintar, komputer riba, atau tablet, pastikan anda cabut pengecasnya bila tak digunakan kerana pengecas peranti seperti ini menggunakan tenaga yang banyak.
Selain itu, bagi mengelakkan bil elektrik yang tinggi dan pemanasan berlebihan yang akan merosakkan fius, pastikan anda tidak mengecas peranti terlalu banyak secara serentak. - Pastikan peralatan elektrik di rumah tidak berada dalam mod ‘standby’
Mod ‘standby’ yang terdapat pada kebanyakan peralatan seperti TV dan komputer sememangnya memudahkan, namun ia menggunakan sebanyak 10% tenaga elektrik. - Buka semua langsir di siang hari
Buka semua langsir di rumah pada siang hari bagi membolehkan cahaya matahari menerangi rumah agar anda tak perlu membuka lampu. Elakkan membuka lampu di waktu siang kerana tabiat ini sangat membazir. - Gunakan komputer riba jika boleh
Komputer riba menggunakan tenaga elektrik yang 80% lebih kurang berbanding komputer meja (desktop). - Gunakan lampu LED
Berbanding dengan lampu biasa seperti lampu pendarfluor dan lampu pijar, lampu LED adalah 80% lebih efisien kerana 95% tenaga yang ada dalam LED ditukar menjadi cahaya dan hanya 5% merupakan haba, sekaligus menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. - Gunakan peralatan elektrik yang berstatus 5 bintang
Kalau anda pergi ke mana-mana kedai barangan elektrik, anda akan dapati bahawa kebanyakan daripada produk yang ada memaparkan pelekat yang berbintang, sama ada bintang 1, 2, 3, 4, atau 5.
Bintang tersebut merupakan standard yang diberikan SIRIM bagi menunjukkan tahap kecekapan tenaga (energy efficiency) sesuatu produk. Lebih tinggi nilai bintang yang diberi, lebih banyak tenaga yang akan dijimatkan.
Untuk barangan yang menggunakan banyak tenaga seperti penghawa dingin atau peti sejuk, sebaiknya anda gunakan yang berstatus 5 bintang. Walaupun ia lebih mahal, tetapi ini merupakan pelaburan jangka panjang yang berbaloi. - Gunakan peralatan elektrik berteknologi inverter
Inverter atau penyongsang adalah alat untuk menukar frekuensi. Teknologi ini terdapat pada banyak peralatan elektrik dan ia berfungsi dalam mengawal voltan, arus dan frekuensi elektrik.
Sebagai contoh, penghawa dingin jenis inverter boleh menyesuaikan kelajuan pemampat untuk mengawal laju aliran pendingin (gas). Ini bermakna ia memakan arus dan tenaga yang lebih sedikit.
Dengan itu anda boleh jimat lebih banyak penggunaan elektrik bila anda membuka penghawa dingin walaupun berjam lamanya. Sama seperti barangan elektrik berbintang 5, barangan elektrik dengan teknologi inverter ini lebih mahal berbanding biasa, namun ia merupakan pelaburan yang berbaloi. - Tetapkan suhu penghawa dingin yang optimum
Semakin tinggi suhu penghawa dingin anda, semakin banyak tenaga yang dijimatkan, dan anda berpotensi menjimatkan sehingga 10% daripada jumlah bil elektrik anda.
Untuk menjimatkan tenaga dan mengurangkan bil, tetapkan suhu penghawa dingin kepada suhu yang optimum iaitu 25˚C dan mod kipas kepada AUTO. Ini akan membolehkan penghawa dingin anda mengatur kelajuan kipasnya mengikut suhu bilik agar tetap sejuk dan nyaman. - Kerap membersih dan menyelenggara penghawa dingin
Penghawa dingin amat berguna dalam penyahhidratan dan menapis segala jenis habuk dan zarah mikroskopik. Namun lama-kelamaan penapis akan tersumbat dan menjadi tempat pembiakan bakteria dan kulat.
Bukan saja penghawa dingin anda akan semakin kurang sejuk, tetapi ia juga bekerja lebih keras berbanding biasa; memakan banyak tenaga. Jadi pastikan anda kerap membersih dan menyelenggara penghawa dingin setiap 3-6 bulan. - Pasang turbine ventilator bagi membebaskan udara panas
Suhu dalam rumah yang panas adalah disebabkan oleh udara-udara panas yang terperangkap akibat aliran udara dalam rumah yang tidak baik. Ini menyebabkan kita membuka penghawa dingin dengan lama pada suhu kurang daripada suhu optimum.
Atasi masalah ini dengan memasang turbine ventilator di bumbung rumah bagi mengeluarkan udara-udara panas yang terperangkap.
Tak kira berapa ramai orang yang tinggal di rumah, pastikan masing-masing memainkan peranan mereka dalam menjimatkan elektrik, seperti menutup suis, tidak membuka lampu di siang hari, atau membiarkan penghawa dingin dibuka walaupun tiada orang di dalam bilik.