Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, orang ramai diarahkan untuk tidak keluar dari rumah bermula pada 18 Mac yang lalu bagi mengelakkan jangkitan atau penyebaran Covid-19 yang telah pun meragut banyak nyawa di seluruh dunia.
Dengan banyaknya tempat kerja (kecuali industri yang penting), institusi pendidikan, dan tempat tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah yang diarahkan untuk tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, ramailah orang yang berada di rumah bagi kebanyakan isi rumah.
Ini menjadikan penggunaan elektrik semakin meningkat, sekaligus menaikkan bil elektrik. Terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, dan salah satunya ialah diskaun bagi bil elektrik.
Kategori pengguna yang layak menerima diskaun tersebut bagi penggunaan elektrik mulai 1 April hingga 30 September 2020 termasuklah: Perdagangan, Perindustrian, Pertanian Spesifik, dan Domestik/Kediaman.
Berikut ialah jumlah diskaun yang akan diberi untuk setiap kategori:
Sumber: TNB
Bagi anda yang termasuk dalam kategori pengguna Domestik/Kediaman, ikuti beberapa tips berikut untuk menjimatkan penggunaan elektrik sepanjang berada di rumah:
- Dapatkan kerjasama ahli keluarga
Jika anda mempunyai anak-anak berumur tujuh tahun dan ke atas, mereka telah cukup besar untuk memahami betapa pentingnya penjimatan elektrik. Adakan mesyuarat bersama ahli keluarga anda bagi meminta kerjasama mereka dalam menjimatkan elektrik.
Beritahu mereka apa yang patut dan tidak patut dilakukan, dan pastikan setiap ahli keluarga memainkan peranan mereka. Jika ada yang terlupa untuk menutup suis contohnya, ingatkan kesilapan yang dilakukan agar tidak berulang. Anda juga boleh membuat checklist dan berikannya pada setiap orang. - Duduk di dalam ruang yang sama bagi lebih penjimatan
Sebagai contoh, jika ruang tamu anda cukup besar, selesa, dan dilengkapi dengan penghawa dingin, mungkin semua atau sebilangan ahli keluarga yang harus bekerja boleh duduk di ruang yang sama bagi lebih penjimatan. Pastikan tiada penghawa dingin atau perkakas elektrik yang terbuka di ruang lain jika tidak digunakan atau tiada orang di situ. - Buka semua langsir agar cahaya masuk ke dalam rumah
Semasa hari masih siang, elakkan daripada membuka sebarang lampu bagi lebih penjimatan. Buka semua langsir yang ada di seluruh ruang rumah agar cahaya matahari boleh masuk. Cahaya matahari juga penting untuk membekalkan vitamin D secara semulajadi, yang sangat penting untuk meningkatkan sistem imun agar dapat melawan penyakit seperti Covid-19. - Pantau penggunaan penghawa dingin
Penghawa dingin ialah salah satu perkakas elektrik di rumah yang memakan tenaga paling banyak dan menyumbang kepada peningkatan bil elektrik, oleh itu pastikan anda memantau setiap penggunaan penghawa dingin yang ada di rumah.
Kalau boleh, jangan buka lebih daripada dua penghawa dingin ketika hari siang, dan elakkan membuka penghawa dingin sebelum tengahari (buka penghawa dingin ketika cuaca benar-benar panas sahaja).
Menjelang malam atau jika cuaca mendung atau hujan pada hari siang, elakkan daripada membuka penghawa dingin sama sekali, kecuali jika anda berasa benar-benar panas dan tidak selesa sehingga menyesakkan pernafasan. - Pastikan semua pintu dan tingkap ditutup ketika penghawa dingin dibuka
Jika anda membuka penghawa dingin, pastikan semua pintu dan tingkap ditutup rapat agar hawa dingin tidak keluar daripada ruang. Gunakan kipas untuk menyejukkan ruang supaya suhu penghawa dingin boleh diubah di antara 24 hingga 26 darjah Celsius bagi menjimatkan tenaga. - Cuci penapis penghawa dingin dengan kerap
Penapis yang dipenuhi dengan kotoran dan habuk akan menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan penghawa dingin dalam menyejukkan ruang. Ia juga menyebabkan penghawa dingin menggunakan lebih banyak tenaga, sekaligus meningkatkan bil elektrik. Cuci penapis dengan kerap. - Mandi dengan cermat
Selain menetapkan had masa untuk mandi agar tidak membazir air dengan banyak, anda juga perlu mandi dengan cermat untuk menjimatkan elektrik terutama jika anda mempunyai pemanas air atau water heater. - Tutup semua suis dan cabut semua plug yang ada jika tidak digunakan
Ini sedikit sebanyak boleh membantu menjimatkan tenaga. - Guna mesin basuh dengan cermat
Jika anda guna mesin basuh, elak basuh baju menggunakan air panas melainkan jika perlu, dan pastikan mesin basuh tidak terlalu penuh atau kurang dengan baju kotor. Elakkan mengguna pengering baju; keringkan baju secara semulajadi. - Tetapkan suhu peti sejuk dengan betul
Peti sejuk yang terlalu sejuk melebihi yang sepatutnya sangat memakan tenaga, jadi pastikan anda tetapkan suhu yang betul bergantung kepada jenis peti sejuk. Selain itu, elakkan membuka pintu peti sejuk dengan kerap.
Untuk info lanjut mengenai cara menjimatkan elektrik atau diskaun bil elektrik, anda boleh layari laman web TNB.