Tiba saja bulan Ramadhan, pastinya ramai di antara kita yang mengambil kesempatan untuk membeli makanan khas Ramadhan di bazar-bazar Ramadhan. Kalau situasi sekarang ni pastilah di e-Bazaar Ramadhan ataupun servis penghantaran seperti GrabFood. Malangnya ramai yang membeli lebih daripada yang sepatutnya sehingga menyebabkan pembaziran.
Tahun lepas, lebih daripada 120,000 tan makanan telah dibazirkan semasa bulan Ramadhan. Menurut statistik oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebanyak 4,005 tan makanan telah dibuang di tempat pembuangan sampah setiap hari sepanjang bulan Ramadhan.
Jumlah tersebut bersamaan dengan kira-kira 343 juta bungkus nasi lemak ayam bersaiz sederhana. Apa yang lebih mengecewakan, jumlah makanan yang telah terbazir ini sebenarnya mampu memberi makan kepada 2.97 juta orang sebanyak tiga kali sehari, tetapi hanya sebahagian kecil sahaja makanan yang disumbangkan.
Ini amat bertentangan dengan ibadah puasa yang memerlukan umat Islam untuk berdisiplin dari segi moral dan aspek kerohanian dengan menghayati kehidupan golongan yang kurang bernasib baik dengan berlapar dan rasa dahaga sebagaimana yang dirasai oleh mereka.
Kajian PNAS: Kelaparan mendorong kita untuk berbelanja lebih daripada yang sepatutnya
Menurut sebuah kajian PNAS, rasa lapar bukan sahaja membuat anda ingin membeli makanan dengan banyak, tetapi juga boleh menyebabkan anda membuat perbelanjaan yang mahal atau berlebihan.
Kajian tersebut melibatkan 379 orang sukarelawan yang mengambil bahagian dalam lima eksperimen tingkah laku. Hasilnya menunjukkan bahawa kelaparan mempunyai kesan langsung terhadap berapa banyak barang yang dibeli seseorang, walaupun barang itu sendiri tidak dapat memuaskan rasa lapar individu itu.
Sebagai contoh, apabila ditawarkan klip pengikat (yang merupakan objek sampel bagi kajian ini) untuk dibawa pulang, peserta yang menilai diri mereka lebih lapar telah mengambil lebih banyak klip berbanding mereka yang tidak lapar.
Selain itu, salah satu eksperimen dalam kajian ini melibatkan proses menganalisis resit pembelian beberapa orang pembeli yang baru keluar dari sebuah gedung membeli-belah.
Data yang disimpulkan daripada resit-resit tersebut menunjukkan bahawa mereka yang berbelanja dalam kelaparan tidak hanya membeli lebih banyak barang berbanding mereka yang telah kenyang, tetapi pembeli yang lapar juga telah menghabiskan lebih banyak wang.
“Buat perbelanjaan setelah anda makan dan kenyang.” – Pakar
Berdasarkan kajian tersebut, rata-rata pakar bersetuju bahawa kita digalakkan membuat sebarang perbelanjaan, sama ada di kedai biasa atau kedai dalam talian, setelah kita makan dan kekenyangan.
Tetapi bagaimana pula dengan umat Islam yang sedang berpuasa dan ingin membeli makanan untuk berbuka puasa?
Menurut seorang pakar diet yang terlibat secara tidak langsung dalam kajian itu, pengambilan makanan yang seimbang merupakan kunci yang boleh mengawal rasa lapar kita sepanjang hari, walaupun ketika sedang berpuasa.
Makanan-makanan yang berikut ini boleh membuat kita rasa kenyang untuk tempoh yang lama (digalakkan untuk dimakan ketika sahur):
- Makanan tinggi protein seperti daging, ayam, atau makanan laut
- Oatmeal
- Epal
- Avokado
- Pisang
- Buahan dan sayuran yang tinggi kandungan serat dan air
- Nasi beras perang
- Kacang-kacangan
- Kurma
- Telur
- Yogurt
Memakan makanan-makanan ini boleh membuat anda rasa kenyang untuk beberapa jam lamanya, dan anda tidak akan cepat terasa terlalu lapar atau haus.
Pada masa yang sama, elakkan mengambil sebarang makanan dan minuman yang boleh membuat kita lebih cepat lapar atau rasa lapar dan haus yang berlebihan, seperti:
- Makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula
- Kafein (termasuk kopi dan teh)
- Pastri
- Bijirin sarapan yang tinggi kandungan gula
- Makanan yang tinggi kandungan garam seperti sardin
- Makanan bergoreng
- Makanan pedas
Jika anda harus membeli makanan untuk berbuka, pastikan anda membuat senarai atau pelan makanan dan minuman yang hendak dihidang setiap hari, beserta dengan bajet harian. Ini boleh membantu anda dalam mengelakkan pembaziran makanan dan juga wang.
Jika anda hendak membeli barangan dapur atau barangan yang bukan makanan, seperti hiasan rumah untuk hari raya atau baju raya, anda digalakkan untuk membeli-belah setelah berbuka puasa.
Apabila kita merasa lapar, kita boleh menjadi kurang pertimbangan kerana kita telah dikuasai oleh rasa lapar itu. Oleh itu, pastikan anda ikuti beberapa tips yang disebutkan ini.