Baru-baru ini, dunia hiburan tempatan gempar dengan kematian seorang selebriti terkenal. Tidak cukup dengan itu, kontroversi wujud apabila perebutan harta pusaka secara terbuka berlaku dalam kalangan ahli keluarga arwah.
Perebutan seperti ini sebenarnya sering berlaku dalam masyarakat. Ia juga mengambil masa yang panjang untuk menemui jalan penyelesaian. Menurut perangkaan terkini, sejumlah RM66 bilion harta pusaka umat Islam tidak dituntut. Malah, harta pusaka khusus seperti rumah dan tanah dibiarkan bertahun-tahun tanpa diurus.
Malah, masalah seperti ini wujud akibat dari kegagalan merancang harta pusaka semasa masih hidup. Secara realitinya, pengetahuan mengenai pengurusan dan pembahagian harta pusaka adalah sama penting seperti ilmu pengurusan kewangan peribadi.
Berikut adalah apa yang anda perlu tahu mengenai pengurusan harta pusaka:
1. Faraid
Faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian yang dibuat mengikut hukum syariah. Mengikut kaedah ini, hanya waris-waris si mati sahaja yang layak mendapat harta pusaka. Waris-waris yang sah dan layak adalah isteri, anak-anak, ibu, bapa serta saudara-mara yang lain (bergantung kepada situasi).
Harta peninggalan perlu terlebih dahulu ditolak dengan hutang-hutang yang dimiliki oleh si mati, wasiat yang dibenarkan syarak, dan juga kos pengurusan jenazah. Hanya setelah baki diperolehi boleh dibuat pembahagian faraid.
Pembahagian harta berdasarkan faraid adalah berdasarkan situasi dan bilangan waris. Kadangkala, pengiraan ini merumitkan. Sebagai contoh, bahagian yang diterima oleh anak-anak perempuan adalah berbeza sekiranya si mati mempunyai anak lelaki atau tidak. Bahagian yang diterima oleh bapa si mati pula adalah 1/2 daripada harta sekiranya si mati mempunyai anak lelaki tetapi 1/6 sekiranaya mempunyai anak perempuan.
Pengiraan yang panjang dan kompleks seperti ini bermakna ia perlu dihuraikan dalam artikel tersendiri yang berasingan.
2. Wasiat
Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, wasiat merupakan iqrar seseorang yang dibuat semasa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum Syarak, selepas berlaku kematian.
Sebarang wasiat yang memenuhi hukum syarak perlu ditunaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian secara faraid boleh dilakukan. Selain itu, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris sahaja. Ini adalah berdasarkan hadis berikut:
Daripada Abi Umamah berkata, “Aku telah mendengar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda, Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memberikan kepada orang yang berhak haknya, ketahuilah tiada wasiat kepada ahli waris” (Hadits Riwayat Abu Daud).
Hanya 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta boleh diwasiatkan. Sekiranya kadar adalah melebihi daripada nilai tersebut, persetujuan daripada ahli waris perlu didapatkan. Harta yang mempunyai penama seperti simpanan KWSP atau polisi insurans juga dikategorikan sebagai harta yang tidak boleh diwasiatkan.
3. Hibah
Hibah merupakan suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika pemberi masih dan tanpa sebarang balasan (‘iwad).
Oleh kerana hibah diberikan semasa pemilik harta masih hidup, persetujuan daripada waris tidak diperlukan. Tiada had harta yang boleh dihibahkan. Ini berbeza dengan wasiat dan pembahagian secara faraid.
Selain itu, hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh pemberi hibah, sama ada ia merupakan waris atau bukan waris. Ia juga boleh diberikan kepada non-Muslim bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dan bukan untuk tujuan maksiat.
Industri Takaful di Malaysia mengamalkan konsep hibah Ruqba. Ini merupakan pemberian hak milik daripada seseorang kepada yang lain, yang mana jika salah seorang daripada penghibah dan penerima itu mati, harta yang ingin dihibahkan(mawhub) akan menjadi hak milik orang yang masih hidup.
Hibah Ruqba mempunyai banyak kelebihan. Di antaranya adalah:
- Pindah milik dilakukan setelah si pemberi meninggal dunia
- Hak pemilikan adalah milik si pemberi
- Kos penyediaan dokumen lebih murah
- Harta bercagar, dengan syarat ada MRTA/MRTT, boleh dihibahkan
Kelebihan yang terdapat pada hibah Ruqba ini menjadikannya antara pilihan terbaik bagi pengurusan harta pusaka.
Dapatkan tawaran pembiayaan Islam terbaik di Malaysia hari ini
AsSidq.com adalah platform sehenti anda untuk produk kewangan Islami. Kami membantu memadankan anda dengan tawaran kewangan patuh syariah yang terbaik dari rakan perbankan dan kewangan kami, berdasarkan keperluan anda.
Kami memastikan pembiayaan anda bebas daripada unsur yang tidak beretika termasuk riba, gharar, maysir, haram, dan zulm.
Sama seperti produk perbankan Islam yang lain yang dikawal ketat di Malaysia, pembiayaan yang ditawarkan melalui Assidq.com dikawal oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia. Ini adalah jawatankuasa yang memastikan semua pinjaman peribadi Islam di Malaysia mematuhi prinsip syariah.
Perkhidmatan ini disediakan percuma, mudah digunakan dan anda akan dipadankan serta-merta. Mohon sekarang dan dapatkan kelulusan dalam masa yang singkat!