‘Robo-advisor’ merupakan platform digital yang menawarkan khidmat perancangan kewangan yang automatik dan dikuasakan oleh algoritma. Juga dikenali sebagai ‘robo-adviser’ atau ‘roboadvisor’, Ia biasanya berfungsi sendiri tanpa penyeliaan manusia.
Dalam bahasa mudahnya, robo-advisor ialah penasihat kewangan anda di hujung jari. Segala perancangan kewangan anda diuruskan oleh robot, di mana ia akan membantu anda dalam hal-hal seperti membuka akaun, merancang matlamat kewangan yang menyeluruh, membuat pelaburan atau mengurus portfolio.
Robo-advisor akan mengumpul maklumat daripada pelanggan mengenai keadaan kewangan dan matlamat kewangan mereka melalui tinjauan dalam talian. Berdasarkan maklumat ini, robo-advisor akan menawarkan nasihat kewangan dan seterusnya melaburkan aset milik pelanggan.
Kelebihan dan kekurangan robo-advisor
Walaupun robo-advisor telah ada sejak tahun 2008, fungsi dan aksesnya adalah sangat terhad. Ia hanya mula berkembang pada akhir tahun 2015 apabila aset pelanggan yang diuruskan oleh robo-advisor mencecah $60 bilion setelah fungsi robo-advisor dinaik tarafkan dan penggunaannya menjadi lebih mesra pelanggan. Angka tersebut dijangka akan mencapai $7 trilion di seluruh dunia pada tahun 2025.
Sebelum anda membuka akaun dengan mana-mana robo-advisor, anda perlu tahu kekurangan yang ada kerana industri ini masih terlalu baru dan masih banyak perkara yang perlu ditingkatkan. Antara kekurangannya ialah:
- Tidak bebas risiko dan tiada jaminan keuntungan
Robo-advisor tidak bebas risiko, dan tiada jaminan bagi pulangan pelaburan (ROI). - Pengimbangan semula (rebalancing) yang terlalu kerap akan menambah kos Pengimbangan semula biasanya akan dilaksanakan apabila peratus pelaburan anda telah lari daripada rancangan peruntukan aset yang ditetapkan berdasarkan toleransi risiko anda.
Sesetengah robo-advisor akan melaksanakan pengimbangan semula pada setiap hari, manakala sebilangan yang lain pula mengikut bulanan atau suku tahunan. Pengimbangan semula yang terlalu kerap boleh mengakibatkan banyak transaksi dan bayaran. - Tiada sifat empati dan budi bicara
Robo-advisor tidak memiliki sifat kemanusiaan yang mungkin penting ketika menangani krisis yang tidak dijangka atau situasi luar biasa. Contohnya apabila anda menerima harta pusaka setelah ibu atau bapa anda meninggal, mungkin anda akan berasa janggal apabila meminta nasihat robot yang tiada empati dan budi bicara.
Namun ini semua tidak menjadi halangan buat pelanggan yang serius dalam menguruskan aset mereka disebabkan oleh beberapa kelebihannya yang tiada pada penasihat kewangan manusia, seperti:
- Yuran yang rendah
Terdapat banyak robo-advisor yang mengenakan yuran tetap tahunan antara 0.2% hingga 0.9% dari jumlah baki akaun pelanggan. Jumlah tersebut sememangnya rendah berbanding dengan kadar 1% hingga 2% yang biasanya dikenakan oleh penasihat kewangan manusia. Lebih banyak dana yang anda laburkan, lebih rendah yuran yang ditawarkan. - Tidak memerlukan modal yang banyak
Di Malaysia, anda boleh mula membuat pelaburan dengan modal hanya RM1 hingga RM100 mengikut kemampuan dan keperluan anda. - Mudah diakses pada bila-bila masa
Selagi anda mempunyai sambungan Internet, anda boleh mengakses akaun pada bila-bila masa dan di mana jua serta membuat pelaburan. - Ubahsuai portfolio dan pelaburan yang pelbagai
Anda boleh menyesuaikan portfolio dan pelaburan yang pelbagai dengan sewajarnya, dan anda juga boleh melabur di pasaran saham luar negara seperti Dow Jones, S & P500, Bursa Saham Tokyo, dan banyak lagi.
Menurut pakar kewangan, robo-advisor mungkin ialah pilihan yang baik buat pelabur muda yang baru menceburi dunia pelaburan dengan modal dan pengalaman yang terhad.
Sebaliknya, teknologi ini mungkin kurang memuaskan (setakat ini) bagi golongan yang lebih berpengalaman, mempunyai modal yang banyak serta memerlukan perkhidmatan yang lebih lanjut seperti perancangan hartanah, pengurusan cukai yang rumit, pentadbiran dana amanah, dan perancangan persaraan.
Bagaimana nak pilih robo-advisor yang terbaik buat anda?
Pada dasarnya, robo-advisor yang baik hendaklah menawarkan penyediaan akaun yang mudah, perancangan matlamat kewangan yang mantap, perkhidmatan akaun, pengurusan portfolio, ciri keselamatan yang kukuh, perkhidmatan pelanggan yang memuaskan, sumber pendidikan yang komprehensif (untuk makluman pelanggan), dan yuran yang rendah.
5 pilihan robo-advisor yang ada di Malaysia
Di Malaysia terdapat sekurang-kurangnya lima robo-advisor yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang membenarkan mereka memberikan khidmat nasihat dan pengurusan aset untuk para pelabur.
Kelulusan yang diberi bermakna mereka telah mematuhi garis panduan pengurusan risiko teknologi, yang merupakan garis panduan yang sama dengan yang dipatuhi oleh bank-bank Malaysia. Lima robo-advisor tersebut ialah Raiz, Wahed Invest, MyTheo, StashAway, dan BEST Invest. Antara kelima-lima robo-advisor ini, Wahed Invest dan BEST Invest adalah patuh Syariah.
Wahed Invest memerlukan pelaburan minimum sebanyak RM100 dengan yuran tahunan di antara 0.39% hingga 0.79%. Wang anda akan dilaburkan dalam dana yang berbeza seperti saham global, saham pasaran yang baru muncul, Sukuk, dan emas.
BEST Invest merupakan anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad, dan ia hanya memerlukan pelaburan minimum sebanyak RM10 dengan yuran tahunan di antara 0.5% hingga 1.2%. Ia tidak mempunyai tempoh berkunci dan caj jualan.