Konsep pengurusan kewangan yang baik memberi penekanan terhadap persiapan masa hadapan. Ia bukan sahaja memastikan kewangan dan aset anda stabil tetapi juga bertujuan memberikan jaminan kepada ahli keluarga dan orang yang tersayang.
Selain daripada pelaburan dan perlindungan insurans Takaful, jaminan ini mampu disediakan dengan adanya pengurusan harta pusaka yang baik. Setelah berlakunya kematian, kita seringkali mendengar mengenai perebutan harta pusaka di kalangan para waris si mati. Sebenarnya, kisah menyedihkan seperti ini dapat dielakkan sekiranya hibah harta disediakan sewaktu masih hidup.
Masalah dalam pembahagian harta
Kebiasaannya, apabila pengurusan harta pusaka dibincangkan, ramai akan terfikir mengenai wasiat. Bagaimanapun, kaedah ini merupakan pemberian harta selepas berlakunya kematian. Oleh itu, terdapat beberapa kekurangan pada wasiat. Di antaranya adalah ia hanya boleh dibuat kepada bukan waris si mati sahaja.
Satu lagi kaedah pembahagian harta adalah secara faraid. Mengikut konsep ini, hanya waris-waris si mati sahaja yang layak mendapat harta pusaka. Selain itu, kadang kala pembahagian harta melalui kaedah ini merumitkan. Kami mengambil contoh kematian seorang suami yang merupakan pemilik rumah. Rumah ini tidak akan menjadi milik isteri sepenuhnya kerana pembahagian secara faraid dalam kes ini adalah seperti berikut:
- Bapa (1/6 daripada rumah)
- Ibu (1/6 daripada rumah)
- Isteri (1/8 daripada rumah)
- Anak-anak (baki rumah yang kemudiannya dibahagikan mengikut nisbah 2:1 di antara anak-anak lelaki dan perempuan)
Sekiranya ibu dan bapa kepada si mati sudah tiada, maka ada pembahagian kepada adik-beradiknya pula. Bolehkah anda bayangkan betapa rumitnya keadaan sekiranya si isteri hanya memiliki 1/8 daripada rumah?
Kelebihan hibah dalam pengurusan harta pusaka
Hibah adalah suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela ketika tempoh hidupnya kepada seseorang yang lain tanpa sebarang balasan (‘iwad). Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh pemberi hibah sama ada ia merupakan waris atau bukan waris. Selain itu hibah juga boleh diberikan kepada non Muslim bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dan bukan untuk tujuan maksiat.
Kadar harta yang hendak dihibahkan juga tiada had dan terpulang kepada pemberi. Hal ini tidak sama dengan wasiat, di mana harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi kadar 1/3 harta pusaka. Manakala pembahagian harta mengikut faraid pula adalah berdasarkan ketentuan dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
Jika pemilik harta membuat wasiat atau hanya menunggu hartanya difaraidkan selepas kematian maka pemanfaatan harta secara terus belum tentu dapat dilakukan atas beberapa faktor seperti karenah pentadbiran (birokrasi) dalam pembahagian harta pusaka, pertelingkahan di kalangan waris, kesahan wasiat, dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan sesuatu harta itu terbiar.
Hibah merupakan amalan sunat dan digalakkan dalam Islam, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“… dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang memintaminta dan (memerdekakan) hamba sahaya.”
(Surah al-Baqarah ayat 177)
Kategori hibah dan aplikasi di Malaysia
Terdapat dua kategori hibah iaitu:
- Hibah Mutlak – juga dikenali sebagai al-hibah al-munjizah. Ia adalah pemberian secara percuma yang berlaku semasa hidup tanpa disertakan sebarang syarat.
- Hibah Bersyarat (Umra dan Ruqba) — kontrak hibah yang mana penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama akad hibah bagi melaksanakan pemberiannya.
Kategori yang kedua, iaitu Hibah Bersyarat, juga terdapat pelbagai jenis. Namun yang utama adalah:
- Umra — satu bentuk pemberian hak milikan terhadap sesuatu harta kepada seseorang dengan menetapkan atau menghadkan tempoh pemilikannya berdasarkan kematiannya atau kematian orang yang diberi itu.
- Ruqba — pemberian hak milik daripada seseorang kepada yang lain, yang mana jika salah seorang daripada penghibah dan penerima itu mati, harta yang ingin dihibahkan(mawhub) akan menjadi hak milik orang yang masih hidup.
Industri Takaful di Malaysia mengamalkan konsep hibah Ruqba. Ini kerana ia mempunyai kelebihan seperti berikut:
- Pindah milik dilakukan setelah si pemberi meninggal dunia
- Hak pemilikan adalah milik si pemberi
- Kos penyediaan dokumen lebih murah
- Harta bercagar, dengan syarat ada MRTA/MRTT, boleh dihibahkan
Ternyata hibah merupakan salah satu keadah yang perlu diberikan penekanan dalam pengurusan kewangan dan harta. Ia bukan dapat menjamin nasib orang tersayang disampingkan mengelakkan kerumitan pada masa hadapan.
Dapatkan tawaran pembiayaan Islam terbaik di Malaysia hari ini
AsSidq.com adalah platform sehenti anda untuk produk kewangan Islami. Kami membantu memadankan anda dengan tawaran kewangan patuh syariah yang terbaik dari rakan perbankan dan kewangan kami, berdasarkan keperluan anda.
Kami memastikan pembiayaan anda bebas daripada unsur yang tidak beretika termasuk riba, gharar, maysir, haram, dan zulm.
Sama seperti produk perbankan Islam yang lain yang dikawal ketat di Malaysia, pembiayaan yang ditawarkan melalui Assidq.com dikawal oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia. Ini adalah jawatankuasa yang memastikan semua pinjaman peribadi Islam di Malaysia mematuhi prinsip syariah.
Perkhidmatan ini disediakan percuma, mudah digunakan dan anda akan dipadankan serta-merta. Mohon sekarang dan dapatkan kelulusan dalam masa yang singkat!